KAJANG – Sebuah lori tiga tan yang membawa muatan gas petroleum cecair (LPG) terbakar hampir keseluruhannya dalam kejadian di Lebuh Raya SILK, sebelum Tol Kajang menghala ke Seremban, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 4.44 petang itu, seorang kelindan lelaki dewasa mengalami kecederaan dan menerima rawatan selepas terlibat dalam kebakaran berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.44 petang sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba kira-kira 5.09 petang dan mendapati lori berkenaan terbakar kira-kira 98 peratus.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah lori tiga tan terbakar kira-kira 98 peratus.
“Lori berkenaan membawa muatan gas LPG. Kebakaran tidak melibatkan pemandu, namun seorang kelindan lelaki dewasa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) BBP Bangi memberikan rawatan awal kepada mangsa menggunakan gel melecur sebelum mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut menggunakan EMRS JBPM.
Katanya, operasi pemadaman masih dijalankan bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya serta tiada risiko susulan berlaku, terutama memandangkan lori terbabit membawa muatan LPG.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – WacanaKini
