KUALA LUMPUR – Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) perlu menjalani penilaian semula strategik terhadap keseluruhan portfolionya bagi memastikan aset milik rakyat Selangor mampu menjana nilai dan pulangan optimum, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham.
Beliau berkata, perbahasan mengenai KPS tidak seharusnya tertumpu semata-mata kepada prestasi untung atau rugi, sebaliknya perlu melihat sama ada struktur kumpulan itu ketika ini merupakan pendekatan terbaik untuk memaksimumkan nilai aset kerajaan negeri.
Menurutnya, kepelbagaian perniagaan yang terlalu luas berpotensi menyebabkan pasaran sukar menilai nilai sebenar setiap aset, sekali gus mewujudkan fenomena dikenali sebagai conglomerate discount.
“Persoalan yang lebih penting bukan sekadar sama ada KPS untung atau rugi, tetapi sama ada struktur KPS hari ini merupakan struktur terbaik untuk memaksimumkan nilai aset milik rakyat Selangor.
“Jika KPS merupakan sebuah syarikat pelaburan, kejayaannya tidak sepatutnya diukur berdasarkan berapa banyak syarikat atau aset yang dimiliki, sebaliknya sejauh mana setiap pelaburan itu mencipta nilai,” katanya dalam penulisan mengenai perbahasan Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
Hilman berkata, setiap pelaburan KPS perlu dinilai berdasarkan beberapa ukuran termasuk pulangan modal, prospek pertumbuhan, peningkatan nilai syarikat serta keupayaannya menjana dividen lebih besar kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Atas dasar itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri mempertimbangkan pelaksanaan strategic portfolio review bagi menilai kedudukan setiap aset dalam portfolio KPS.
Menurutnya, proses itu boleh mengenal pasti aset berpotensi tinggi untuk dikembangkan, perniagaan yang memerlukan rakan strategik, aset yang perlu distruktur semula serta aset yang mungkin tidak lagi selari dengan hala tuju strategik kumpulan.
“Matlamatnya bukan menjual aset secara membuta tuli. Matlamatnya ialah mencipta nilai,” katanya.
Beliau berkata, antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah proses value unlocking, termasuk penyusunan semula atau unbundling aset tertentu sekiranya struktur sedia ada menyukarkan pasaran memahami nilai sebenar perniagaan berkenaan.
Katanya, unbundling tidak semestinya bermaksud penjualan aset, sebaliknya boleh melibatkan pembentukan identiti, struktur pengurusan dan strategi pertumbuhan yang lebih khusus.
“Dengan fokus yang lebih jelas, sesuatu aset berpotensi mendapatkan modal, membentuk kerjasama strategik dan mencapai penilaian yang lebih baik,” katanya.
Hilman turut menyambut positif kenyataan Menteri Besar Selangor yang, menurutnya, mengakui penilaian semula pelaburan KPS wajar dipertimbangkan bagi memastikan pelaburan masa hadapan memberi nilai tambah dan pulangan dividen lebih besar kepada MBI.
Beliau berkata, Menteri Besar juga mengakui strategi memecahkan aset kepada struktur atau pemilikan yang lebih fokus boleh menjadi antara pendekatan untuk dipertimbangkan.
Menurut Hilman, perkara itu menunjukkan isu dibangkitkan bukan sekadar kritikan politik, sebaliknya melibatkan persoalan sebenar mengenai struktur portfolio dan cara pasaran menilai aset milik kerajaan negeri.
Beliau berpandangan KPS perlu berubah daripada sebuah diversified holding company kepada sebuah disciplined investment platform yang mempunyai disiplin lebih ketat dalam membuat keputusan pelaburan dan pengagihan modal.
Katanya, sebuah platform pelaburan perlu mempunyai strategi yang jelas, sasaran pulangan, pemahaman terhadap risiko serta keupayaan menentukan masa sesuai untuk membangunkan aset, mencari rakan strategik atau memindahkan modal kepada peluang lebih produktif.
“KPS perlu mempunyai bakat terbaik yang mampu mencari peluang, memahami industri, menentukan penilaian, menilai risiko, menyusun transaksi dan membangunkan aset sehingga mencapai potensi sebenarnya,” katanya.
Dalam konteks lebih luas, Hilman berkata perbahasan mengenai KPS perlu membawa kepada persoalan mengenai kedudukan Selangor dalam sektor ekonomi masa depan bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Beliau berkata, sektor seperti semikonduktor, reka bentuk litar bersepadu (IC), sains hayat, perubatan dan pembuatan bernilai tinggi perlu diberikan perhatian dalam strategi pengagihan modal negeri.
Menurutnya, Selangor tidak seharusnya hanya bergantung kepada peranannya sebagai penyedia tanah dan infrastruktur kepada pelabur, sebaliknya perlu membina keupayaan untuk mengambil bahagian secara lebih langsung dalam penciptaan nilai industri masa depan.
“Persoalannya ialah bagaimana semua kelebihan yang dimiliki Selangor diterjemahkan menjadi kekayaan jangka panjang untuk negeri dan rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata, setiap keputusan membabitkan aset kerajaan perlu mengambil kira opportunity cost kerana modal yang kekal dalam aset berpulangan rendah tidak dapat digunakan untuk sektor yang mempunyai produktiviti dan potensi pertumbuhan lebih tinggi.
Pada masa sama, katanya, aset strategik tidak seharusnya dilepaskan semata-mata untuk memperoleh keuntungan jangka pendek.
“Setiap keputusan perlu kembali kepada satu ukuran iaitu apakah struktur pemilikan dan penggunaan modal yang menghasilkan nilai ekonomi serta manfaat awam paling besar kepada rakyat Selangor,” katanya.
Hilman berkata, pendekatan sama turut mencerminkan konsep “politik nilai” yang mahu dibawanya, iaitu pembangkang bukan sekadar mengkritik kelemahan kerajaan tetapi turut menawarkan idea dan penyelesaian yang boleh memperbaiki dasar serta institusi.
“Politik tidak semestinya menjadi pertandingan siapa paling kuat menyerang.
“Pada akhirnya, politik mesti menghasilkan sesuatu – idea yang lebih baik, dasar yang lebih baik, institusi yang lebih baik dan akhirnya kehidupan rakyat yang lebih baik,” katanya.
Menurut beliau, ukuran utama kejayaan politik bukan siapa yang menerima kredit atas sesuatu idea, tetapi siapa yang menerima manfaat daripada pelaksanaan dasar berkenaan.
“Dalam konteks Selangor, jawapannya mestilah rakyat.
“Kita bukan sekadar mahu kerajaan yang memiliki banyak aset. Kita mahu kerajaan yang tahu mencipta nilai daripada asetnya,” katanya. – WacanaKini
