KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa terdapat perbincangan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) menerusi versi baharu melibatkan UMNO dan Pas.
Menurut beliau, pertemuan antara pemimpin kedua-dua parti yang berlangsung malam semalam tidak melibatkan presiden parti, sebaliknya lebih menjurus kepada pertukaran pandangan mengenai kerjasama politik dan isu berkepentingan nasional.
“Tiadanya perbincangan mengenai perkara itu (MN 2.0),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak pameran Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026 di Dataran Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, dalam landskap politik yang sentiasa berubah, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak demi kepentingan negara serta memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
Kenyataan itu dibuat susulan pengesahan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai pertemuan antara pemimpin Pas dan UMNO semalam. Namun, Abdul Hadi tidak memperincikan tujuan pertemuan tersebut dan hanya menyifatkan cadangan berkaitan MN 2.0 sebagai “satu pandangan”.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menegaskan keutamaan parti ketika ini adalah memastikan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak terus kekal stabil sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.
“Yang paling penting ialah mengekalkan kerajaan sedia ada sehingga akhir penggal Parlimen,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata BN sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan terbuka untuk meneruskan kerjasama politik yang membolehkan Kerajaan Perpaduan dikekalkan di negeri berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan masih terlalu awal untuk mengadakan rundingan rasmi berhubung pembahagian kerusi atau bentuk kerjasama menjelang PRN tersebut.
“Kita bersedia menghadapi pilihan raya di Negeri Sembilan dan sangat terbuka untuk meneruskan kerjasama bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu,” katanya. – WacanaKini
