Nasional Utama

Rayer persoal tindakan MB Perlis lepas tembakan ketika program korban

KANGAR – Tindakan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah melepaskan tembakan ke arah seekor lembu korban dalam satu program ibadah korban di Kuala Perlis mencetuskan persoalan berkaitan aspek keselamatan serta pematuhan undang-undang penggunaan senjata api.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, pihak polis perlu menjalankan siasatan secara telus tanpa mengira kedudukan mana-mana individu yang terlibat.

Menurut beliau, rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan lembu berkenaan berada di kawasan terbuka ketika tembakan dilepaskan, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai keperluan tindakan sedemikian.

“Sekiranya haiwan itu benar-benar berbahaya, mengapa tembakan perlu dilepaskan dalam keadaan tersebut?

“Selain itu, timbul persoalan mengapa senapang patah dibawa ke program korban dan sama ada wujud jangkaan awal bahawa lembu berkenaan mungkin terlepas,” katanya dalam satu kenyataan.

Rayer yang juga seorang peguam turut membangkitkan kebimbangan mengenai risiko keselamatan awam sekiranya tembakan tersasar dan mengenai orang ramai di lokasi kejadian.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Abu Bakar mempunyai lesen sah bagi memiliki serta menggunakan senjata api berkenaan.

Katanya, walaupun pemilikan senjata api dibenarkan melalui lesen, penggunaan dan pelepasan tembakan di kawasan awam tetap tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Senjata 1960.

Terdahulu, tular satu video memaparkan Abu Bakar melepaskan tembakan ke arah seekor lembu ketika Program Korban Perdana DUN Kuala Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis.

Susulan kejadian itu, Abu Bakar menjelaskan lembu berkenaan terlepas daripada ikatan dan bertindak agresif sehingga boleh mengancam keselamatan petugas serta orang ramai.

Menurutnya, tembakan hanya disasarkan pada bahagian kaki haiwan terbabit bagi mengawal keadaan sebelum lembu tersebut disembelih mengikut prosedur korban.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, polis sedang menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti jenis senjata dan peluru yang digunakan dalam kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Rayer turut mempersoalkan mengapa senjata terbabit masih belum dirampas dan mengapa tiada tindakan lanjut diambil setakat ini.

“Tiada mana-mana individu yang mengatasi undang-undang dan polis perlu bertindak tanpa memilih bulu,” katanya. – WacanaKini