Nasional Utama

DBKL sahkan video tular aktiviti niaga depan KLCC rakaman lama

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan berlaku aktiviti perniagaan tidak terkawal di hadapan KLCC seperti yang tular di media sosial, sebaliknya mengesahkan rakaman berkenaan adalah video lama dan tidak mencerminkan situasi semasa.

Menurut DBKL, semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiada aktiviti perniagaan seperti yang dipaparkan dalam video tersebut berlaku di lokasi berkenaan sepanjang tahun 2026.

“Berdasarkan penelitian yang dibuat, terdapat perbezaan ketara antara rakaman tular dan keadaan semasa. Video tersebut hanya menunjukkan satu papan tanda di lokasi berkenaan, sedangkan ketika ini terdapat dua papan tanda yang telah dipasang,” menurut kenyataan DBKL.

DBKL menjelaskan pihaknya mengambil maklum mengenai penyebaran video itu dan telah menjalankan semakan bagi mengesahkan kesahihannya sebelum membuat penjelasan kepada orang ramai.

Dalam masa sama, pihak berkuasa tempatan itu menegaskan penguatkuasaan di sekitar kawasan Parlimen Bukit Bintang, termasuk sekitar KLCC, sentiasa dijalankan secara berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan bandar raya.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, DBKL telah melaksanakan sebanyak 2,108 tindakan penguatkuasaan di kawasan Imbi yang melibatkan pelbagai kesalahan termasuk penjajaan tanpa kebenaran dan halangan struktur.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,795 notis kompaun, 39 notis penguatkuasaan dan 274 tindakan sitaan telah dikeluarkan.

Sehubungan itu, DBKL menggesa orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta tidak menyebarkan kandungan yang belum dipastikan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. – WacanaKini