Jenayah Utama

Bekas CEO TH direman tujuh hari bantu siasatan RCI

PUTRAJAYA – Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) direman selama tujuh hari sehingga 27 Ogos ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah laku dan kelemahan tadbir urus yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Perintah reman terhadap individu bergelar Tan Sri berusia 60-an itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas membenarkan permohonan SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut.

Bekas CEO TH itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 9.40 pagi dengan memakai pakaian berwarna jingga bertulis ‘Lokap SPRM’.

Beliau kemudian dilihat meninggalkan mahkamah kira-kira jam 11.33 pagi selepas prosiding reman selesai.

Siasatan terhadap bekas pegawai kanan TH itu dipercayai berkait isu yang dibangkitkan menerusi Laporan RCI TH, termasuk dakwaan melibatkan urusan pelaburan, dokumen pembayaran dan perjanjian pajakan empat hotel di Arab Saudi.

Urus niaga berkenaan dikatakan membabitkan nilai kira-kira SR2.49 bilion dan didakwa menyebabkan kerugian kepada TH.

Pada 15 Ogos lalu, SPRM mengesahkan penahanan tujuh individu bagi membantu siasatan berkaitan RCI TH, terdiri daripada seorang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat, seorang bekas pengarah syarikat dan empat bekas anggota pengurusan kanan TH.

Daripada jumlah itu, dua suspek lelaki direman selama lima hari sehingga 19 Ogos lalu, manakala lima lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan.

SPRM dijangka meneliti pelbagai dokumen dan rekod berkaitan, termasuk rekod transaksi, minit mesyuarat serta keputusan pengurusan, selain merakam keterangan individu yang mempunyai maklumat mengenai urusan terbabit.

Siasatan dijalankan mengikut peruntukan Akta SPRM 2009, termasuk Seksyen 18 dan Seksyen 16(a)(A) bagi kes-kes terdahulu yang berkaitan dengan RCI TH. – WacanaKini