Nasional Utama

Aktivis MHO, peguam ditahan ketika cuba selamatkan lelaki didakwa dikurung dan didera

KUALA LUMPUR – Operasi menyelamat seorang lelaki yang didakwa menjadi mangsa kurungan dan penderaan di sebuah pusat peranginan di Pahang berakhir dengan penahanan beberapa aktivis Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersama seorang peguam oleh pihak polis.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tindakan itu berlaku selepas pertubuhan berkenaan menerima aduan kecemasan daripada seorang individu yang mendakwa rakannya sedang dikurung dan diseksa.

Menurut beliau, aduan tersebut turut disertakan rakaman video yang menunjukkan seorang lelaki dipukul menggunakan tali pinggang, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan mangsa.

Katanya, berdasarkan pengalaman MHO mengendalikan pelbagai kes eksploitasi dan pemerdagangan manusia sebelum ini, maklumat berkenaan dianggap serius dan memerlukan tindakan segera.

“Kes seumpama ini lazimnya dikaitkan dengan sindiket jenayah di luar negara seperti Kemboja dan Myanmar. Apabila menerima maklumat mendakwa kejadian sama berlaku di Malaysia, kami merasakan ia perlu disiasat dan mangsa mesti dibantu segera,” katanya.

Susulan itu, beberapa aktivis MHO bertindak ke lokasi yang dipercayai menjadi tempat mangsa ditahan sebelum berjaya membawa keluar individu terbabit.

Hishamuddin berkata, aktivis yang terlibat bersama seorang peguam panel MHO kemudian hadir ke balai polis berhampiran bagi membuat laporan dan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, keadaan berubah apabila mereka yang tampil memberikan maklumat dan membantu mangsa ditahan polis atas dakwaan melakukan kesalahan tertentu.

Menurutnya, tindakan kemanusiaan yang dijalankan kemungkinan telah disalah tafsir sehingga membawa kepada penahanan tersebut.

“Kami hadir untuk membantu individu yang dipercayai berada dalam keadaan bahaya sebelum menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Namun akhirnya mereka yang tampil membantu pula ditahan,” katanya.

Beliau berharap keseluruhan insiden itu dapat dinilai secara menyeluruh berdasarkan fakta sebenar dan tujuan asal operasi yang dijalankan. – WacanaKini