Politik Utama

SPR terima notis pembubaran DUN Negeri Sembilan, PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, notis berkenaan disampaikan oleh Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk M K Ibrahim Abd Rahman menerusi surat rasmi berkaitan pembubaran Dewan Negeri ke-15.

Menurut beliau, pembubaran itu dibuat selaras dengan Fasal 56(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Berdasarkan Fasal 56(4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramlan berkata, SPR akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRN Negeri Sembilan termasuk hari penamaan calon, hari pengundian serta urusan berkaitan pelaksanaan pilihan raya.

Katanya, tarikh mesyuarat tersebut akan diumumkan kemudian.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menurut Aminuddin, perkenan itu diperoleh dalam sesi menghadap yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, sekali gus membolehkan proses pilihan raya negeri dilaksanakan mengikut peruntukan perlembagaan negeri. – WacanaKini