Nasional Utama

Pendaki hilang 14 hari berdepan risiko Refeeding Syndrome ketika proses pemulihan

MELAKA – Pendaki wanita yang ditemui selamat selepas 14 hari hilang di kawasan Gunung Batu Putih, Tapah berdepan risiko mengalami Refeeding Syndrome (RFS), satu komplikasi perubatan serius yang boleh berlaku apabila pemakanan diperkenalkan semula selepas tempoh kebuluran yang panjang.

Pegawai Dietetik, Wan Nurul Hazirah Wan Alkamar Shah berkata, cabaran utama dalam proses pemulihan mangsa yang mengalami kekurangan makanan berpanjangan bukan sekadar mengembalikan nutrisi tubuh, tetapi memastikan proses tersebut dilakukan secara terkawal dan selamat.

Menurut beliau, RFS boleh berlaku apabila tubuh yang lama berada dalam keadaan kelaparan menerima bekalan tenaga, terutama karbohidrat, secara mendadak sehingga mencetuskan perubahan metabolik yang berbahaya.

“Keadaan ini menyebabkan mineral penting seperti fosfat, kalium dan magnesium berpindah secara cepat daripada aliran darah ke dalam sel, sekali gus menjejaskan fungsi organ penting.

“Antara komplikasi yang boleh berlaku ialah gangguan rentak jantung, kegagalan pernafasan, kekeliruan, sawan dan dalam keadaan tertentu boleh mengancam nyawa,” katanya.

Beliau menjelaskan individu yang mengalami penurunan berat badan ketara serta pengambilan makanan yang sangat minimum selama beberapa hari atau minggu perlu menjalani proses pemakanan semula secara berperingkat.

Katanya, pemantauan rapi terhadap paras elektrolit, khususnya fosfat, kalium dan magnesium perlu dilakukan sepanjang tempoh pemulihan bagi mengelakkan komplikasi.

Selain itu, pemberian vitamin B1 atau thiamine sebelum dan semasa proses pemakanan semula turut disyorkan berdasarkan garis panduan Persatuan Nutrisi Parenteral dan Enteral Amerika (ASPEN).

Mengulas kes pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemukan selamat selepas hilang selama dua minggu, Wan Nurul Hazirah berkata pemantauan berterusan oleh pegawai perubatan serta pakar dietetik di hospital amat penting bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.

“Pengurusan klinikal yang teliti selepas mangsa diselamatkan dapat membantu mengurangkan risiko komplikasi dan memastikan tubuh menyesuaikan diri secara selamat dengan pengambilan makanan semula,” katanya.

Jelas beliau, aspek pemulihan selepas penyelamatan sama penting dengan operasi mencari dan menyelamat kerana kesan kebuluran berpanjangan boleh berlarutan walaupun mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat. – WacanaKini