PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang baharu, Mohd Hisyamuddin Ghazali mencabar ahli perniagaan dan aktivis media sosial, Albert Tei, untuk berdebat secara terbuka susulan pertemuan mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada Khamis.
Cabaran itu dibuat selepas Albert Tei atau Tei Jiann Cheing bersama beberapa individu hadir ketika Mohd Hisyamuddin selesai membuat laporan polis berkaitan dakwaan gangguan terhadap operasi Kementerian Komunikasi.
“Albert, nanti saya sediakan pentas dan kita berdebat secara terbuka. Simpan dahulu semua soalan itu untuk sesi tersebut.
“Takkan mahu dua lawan satu pula,” katanya secara sinis ketika sidang media selepas membuat laporan polis.
Menurut Mohd Hisyamuddin, kehadiran Albert Tei yang mengemukakan beberapa soalan ketika itu dilihat sebagai cubaan mengganggu sidang media yang sedang berlangsung.
Beliau berkata, laporan polis yang dibuat bertujuan membolehkan pihak berkuasa menyiasat tindakan individu berkenaan yang didakwa beberapa kali mengadakan perhimpunan dan mencetuskan provokasi di kawasan Kementerian Komunikasi.
“Tindakan tersebut bukan sahaja mengganggu urusan rasmi kementerian, malah boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan penjawat awam yang menjalankan tugas,” katanya.
Laporan polis itu dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Selain itu, beliau turut memaklumkan laporan akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung dakwaan penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan komunikasi.
Mohd Hisyamuddin menegaskan bahawa tindakan undang-undang yang diambil bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya bagi memastikan setiap dakwaan dan tindakan yang dilakukan mematuhi lunas undang-undang.
Beliau berkata, sebarang pertikaian atau persoalan yang ingin dibangkitkan boleh dibincangkan melalui saluran yang lebih tertib dan terbuka, termasuk menerusi debat yang dicadangkannya kepada Albert Tei. – WacanaKini
