HULU LANGAT – Pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama beberapa agensi berkaitan akan mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi meneliti langkah susulan terhadap isu penempatan haram di Sungai Tekali yang menjadi perhatian umum selepas tular di media sosial.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berkata, mesyuarat itu diputuskan selepas perbincangan bersama Pegawai Daerah Hulu Langat bagi memastikan tindakan lebih menyeluruh dapat diambil terhadap isu berkenaan.
“Selepas berbincang dengan Pegawai Daerah, satu mesyuarat khas melibatkan PBT dan agensi berkaitan akan diadakan bagi membincangkan isu penempatan haram yang sedang mendapat perhatian ramai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Johan, isu pembinaan struktur dan penempatan tanpa kelulusan di Sungai Tekali bukan perkara baharu kerana telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu.
Katanya, pelbagai operasi penguatkuasaan dan pemantauan telah dilaksanakan oleh agensi berkaitan, namun masalah tersebut berterusan disebabkan terdapat pemilik tanah yang membenarkan kawasan mereka digunakan untuk penempatan serta pembinaan struktur tanpa kebenaran.
“Selain menyediakan ruang penempatan, ada juga pemilik tanah yang didakwa membenarkan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik disalurkan kepada penghuni.
“Keadaan ini bukan sahaja melanggar peraturan, malah menyukarkan usaha kerajaan untuk menyelesaikan isu tersebut secara berkesan,” katanya.
Johan turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penghuni penempatan, sebaliknya perlu merangkumi pihak yang membenarkan atau memudahkan aktiviti berkenaan berlaku.
Menurut beliau, pemilik tanah yang terlibat juga perlu dipertanggungjawabkan mengikut peruntukan undang-undang supaya penyelesaian yang diambil dapat menangani punca sebenar masalah.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin atau Pak Azad, yang membantu membawa isu tersebut ke perhatian masyarakat menerusi pendedahan di media sosial.
Perkembangan terbaharu itu turut menerima reaksi positif daripada pengguna media sosial yang menyambut baik langkah pantas pihak berkuasa dalam menangani isu berkenaan.
Malah, beberapa pengguna mendakwa pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah hadir ke lokasi terbabit bagi mengambil tindakan terhadap sambungan bekalan elektrik yang dipercayai digunakan di kawasan penempatan tersebut.
Mesyuarat khas hari ini dijangka menjadi platform penting bagi menyelaras tindakan antara agensi terlibat dalam usaha menyelesaikan isu penempatan haram di Sungai Tekali secara lebih berkesan dan menyeluruh. – WacanaKini
