PUTRAJAYA – Kerajaan MADANI tidak bercadang mengambil alih Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), syarikat yang menyediakan sistem identiti nasional serta membekalkan dokumen identiti dan keselamatan negara.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, pendirian itu dibuat bagi menjelaskan laporan media sebelum ini yang membangkitkan kemungkinan kerajaan mengambil alih syarikat berkenaan.
“Berkaitan laporan media mengenai cadangan pengambilalihan Datasonic Technologies yang menyediakan perkhidmatan identiti rakyat, Kerajaan MADANI berpendirian untuk tidak mengambil alih DTSB,” menurut MKN dalam kenyataan hari ini.
MKN menegaskan, identiti rakyat adalah antara aset strategik paling penting kepada negara dan kerajaan sentiasa memberikan keutamaan tertinggi terhadap aspek keselamatan serta kedaulatannya.
Menurut kenyataan itu, pengawalseliaan berkaitan identiti rakyat dilaksanakan menerusi kerangka menyeluruh yang mengambil kira aspek perundangan, kewangan, tadbir urus dan keselamatan.
Bagaimanapun, kerajaan akan terus meneliti serta meneroka pendekatan proaktif bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan data serta identiti rakyat sentiasa terjamin.
“Strategi-strategi tersebut juga mestilah memberi nilai terbaik bagi setiap ringgit yang dibelanjakan,” katanya.
MKN berkata, kerajaan kekal komited memastikan semua pihak yang terbabit dalam penyediaan perkhidmatan berkaitan identiti rakyat terus meningkatkan mutu perkhidmatan supaya kekal selamat, berintegriti dan diyakini.
Sebelum ini, pada 20 Ogos lalu, NexG Bhd dilaporkan sedang menilai anak syarikat milik penuhnya, DTSB, pada kira-kira RM7.5 bilion, selepas menerima permintaan daripada kerajaan untuk mengemukakan harga indikatif bagi kemungkinan pengambilalihan syarikat itu.
DTSB merupakan penyedia MyKad negara dan sejak 2012 dilantik sebagai vendor pasport Malaysia yang memenuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Syarikat itu juga kini memegang mandat bagi penyediaan MyKad struktur baharu, MyTentera dan MyPOCA, dengan komitmen pembekalan untuk tempoh beberapa tahun. – WacanaKini
