Jenayah Utama

Tiong gesa Genting Highlands perketat kawal selia keselamatan jalan raya

GENTING HIGHLANDS – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggesa pihak pengurusan Genting Highlands memperkukuh aspek keselamatan jalan raya di kawasan peranginan itu menerusi kerjasama lebih erat dengan kerajaan, susulan kemalangan membabitkan bas persiaran yang berlaku bulan lalu.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, peningkatan langkah kawal selia dan pemantauan keselamatan perlu disegerakan memandangkan laluan tersebut sering digunakan oleh pelancong serta orang awam.

Menurut beliau, cadangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memasang kemudahan perangkap laju sebelum ini masih belum dapat dilaksanakan kerana jalan berkenaan berada di bawah pengurusan persendirian.

“Ketika ini, laluan tersebut hanya dilengkapi beberapa kamera litar tertutup (CCTV), namun terdapat keperluan mendesak untuk memperluaskan penggunaan teknologi pemantauan bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.

“Walaupun jalan itu merupakan hak milik persendirian, ia tetap melibatkan keselamatan pelancong dan pengguna jalan raya awam. Justeru, saya berharap pihak pengurusan dapat bekerjasama secara aktif dengan kerajaan atas dasar kepentingan awam dan tanggungjawab sosial korporat,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain pemantauan berteknologi, Tiong turut mencadangkan pemasangan lebih banyak kemudahan penenang lalu lintas seperti bonggol jalan di lokasi berisiko tinggi, khususnya di laluan menurun yang sering menjadi tumpuan kenderaan.

Katanya, langkah itu mampu membantu mengawal kelajuan kenderaan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.

“Perhatian khusus perlu diberikan di kawasan kritikal terutama di laluan keluar masuk utama Genting Highlands bagi memastikan kelajuan kenderaan dapat dikawal dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak pengurusan Genting Highlands bagi meneliti status semasa pengurusan keselamatan jalan raya di kawasan tersebut.

Menurutnya, perbincangan itu akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan langkah segera yang praktikal termasuk pemasangan peranti pemantauan, kemudahan penenang lalu lintas serta inisiatif keselamatan lain yang sesuai.

Pada 30 Mei lalu, tujuh individu dilaporkan cedera dalam kemalangan melibatkan dua bas persiaran dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 15 Jalan Genting Highlands-Genting Sempah, sekali gus mencetuskan semula perbincangan mengenai aspek keselamatan di laluan berkenaan. – WacanaKini