KANGAR – Kerajaan Perlis mengumumkan pelantikan tiga penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengisi kekosongan pentadbiran di kawasan Guar Sanji, Bintong dan Chuping susulan kemelut politik yang menyaksikan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas kehilangan keahlian parti.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil dilantik sebagai Penyelaras DUN Guar Sanji, manakala Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kangar, Jamil Kamis diberi tanggungjawab menyelaras DUN Bintong.
Beliau turut mengumumkan pelantikan Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Padang Besar, Abdul Aziz Ahmad sebagai Penyelaras DUN Chuping.
Selain itu, Ketua Dewan Muslimat Pas Perlis, Husna Hashim dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar bagi memperkukuhkan urusan komunikasi pentadbiran kerajaan negeri.
“Dengan sukacitanya saya mengumumkan pelantikan Husna Hashim sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar.
“Bagi penyelaras DUN pula, Jamil Kamis dilantik untuk Bintong, Abdul Aziz Ahmad bagi Chuping dan Ustaz Ahmad Adnan Fadzil untuk Guar Sanji,” katanya ketika sesi penggulungan Persidangan DUN Perlis pada Jumaat.
Sebelum ini, tiga ADUN Pas iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) digugurkan keahlian parti selepas didakwa mengemukakan akuan bersumpah (SD) yang menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Susulan tindakan itu, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan mengisytiharkan berlaku kekosongan luar jangka di ketiga-tiga kerusi berkenaan apabila keahlian mereka dalam Pas terhenti.
Pergolakan politik tersebut akhirnya membawa kepada pelantikan Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. – WacanaKini
