Jenayah Utama

Perobohan kuil Bukit Lagi isu pematuhan undang-undang, bukan sentimen agama – Mufti Perlis

KANGAR – Isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi di sini tidak seharusnya dipolitikkan atau dijadikan bahan untuk membangkitkan sentimen agama dan perkauman, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan aspek pematuhan undang-undang serta hak pemilikan tanah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Malaysia merupakan negara yang berteraskan undang-undang dan setiap pihak, tanpa mengira agama atau latar belakang, perlu mematuhi peraturan berkaitan pemilikan serta penggunaan tanah.

Menurut beliau, pembinaan sebarang struktur termasuk kediaman dan rumah ibadat tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya di atas tanah milik pihak lain atau tanah awam tanpa kebenaran yang sah.

“Kita berada di negara yang ada undang-undang, bukan di hutan rimba yang tanah tiada pemilik.

“Sepatutnya, ahli Parlimen mengajar rakyat untuk mengikut undang-undang, bukan membina bangunan sesuka hati tanpa peraturan dan hak milik,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer supaya Barisan Nasional (BN) menilai semula kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) susulan tindakan kerajaan Perlis merobohkan kuil berkenaan.

Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang sebelum ini mendakwa tindakan tersebut menimbulkan persoalan mengenai keupayaan PN menghormati kepelbagaian kaum dan agama sekiranya gabungan itu diberi peluang mentadbir di peringkat Persekutuan.

Beliau turut meminta isu itu diberi perhatian oleh UMNO, MCA dan MIC yang pernah bekerjasama dengan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Mohd Asri menegaskan isu berkenaan tidak wajar dikaitkan dengan sentimen politik atau agama kerana asasnya adalah soal pelaksanaan undang-undang.

Pada masa sama, beliau menekankan bahawa keharmonian dalam masyarakat majmuk perlu terus dipelihara dengan menghormati hak semua penganut agama, termasuk kewujudan rumah ibadat yang dibina secara sah.

“Betapa banyak kuil yang sah wujud. Tidak disentuh pun oleh majoriti rakyat negara ini. Islam itu harmoni dan menghormati hak, walaupun tidak bersetuju.

“Namun, Islam juga tidak membenarkan manusia merampas atau mengambil tanah pihak lain tanpa alasan yang sah,” ujarnya.

Menurut Mohd Asri, Islam mengajar umatnya supaya menghormati hak orang lain walaupun berbeza pegangan dan kepercayaan, namun pada masa sama tidak membenarkan pencerobohan atau pengambilan hak pihak lain tanpa asas yang sah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak menggunakan isu perobohan tersebut untuk mencetuskan ketegangan kaum dan agama yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Jangan bakar sentimen perkauman atau ketegangan agama. Buruk akibatnya nanti bagi negara ini,” katanya. – WacanaKini