PUTRAJAYA – Kerajaan menegaskan isu pelarian Rohingya tidak boleh ditangani secara terburu-buru atau berdasarkan tekanan sentimen semata-mata kerana ia melibatkan aspek kemanusiaan, keselamatan negara dan komitmen antarabangsa yang perlu diimbangi dengan teliti.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan mudah dengan mengusir pelarian tersebut tanpa mengambil kira faktor yang menyebabkan mereka meninggalkan negara asal.
Menurut beliau, kebanyakan pelarian Rohingya terpaksa melarikan diri akibat konflik, penindasan dan ancaman keselamatan yang berlaku di tempat asal mereka.
“Jika mereka mempunyai pilihan, adakah mereka sanggup meninggalkan tanah air sendiri selepas berdepan kampung yang dibakar, wanita dirogol, identiti dinafikan serta rumah ibadat dan penempatan dimusnahkan?
“Dalam keadaan itu, mereka mencari perlindungan dan Malaysia menjadi antara destinasi yang dipilih,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini.
Beliau mengulas desakan yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna media sosial supaya pelarian Rohingya dihantar pulang atau ditempatkan di negara ketiga.
Terdahulu, petisyen dalam talian yang menggesa pelarian Rohingya dikeluarkan dari Malaysia dilaporkan menerima hampir 450,000 tandatangan setakat ini.
Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara dan akan terus menguatkuasakan undang-undang terhadap mana-mana warga asing yang melanggar peraturan.
Pada masa sama, beliau menolak dakwaan kononnya kerajaan memberikan dokumen pengenalan diri kepada pelarian secara sewenang-wenangnya.
“Malaysia mempunyai sistem, undang-undang dan mekanisme kawalan yang jelas. Dakwaan bahawa kerajaan memberi identiti kepada pelarian sesuka hati adalah tidak benar.
“Kita perlu mengurus isu ini dengan bijaksana dan berperikemanusiaan, namun dalam masa sama memastikan kepentingan keselamatan negara dan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Jabatan Imigresen telah memperhebat operasi penguatkuasaan terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial atau terlibat dalam aktiviti yang menyalahi syarat permit mereka.
Tindakan itu selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya usaha membanteras perniagaan haram, penyalahgunaan visa serta penggunaan lesen perniagaan oleh warga asing diperkukuhkan menerusi kerjasama pelbagai agensi kerajaan.
Saifuddin berkata tindakan bersepadu itu sedang dilaksanakan bagi memastikan aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan kepentingan negara terus menjadi keutamaan kerajaan. – WacanKini
