Mahkamah Utama

Pasangan suami isteri didakwa perdagang wanita Indonesia untuk buruh paksa

BUTTERWORTH – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas beberapa pertuduhan memperdagangkan wanita warga Indonesia bagi tujuan buruh paksa sejak tahun lalu.

Tertuduh, Chan Koon Pheng, 40, dan suaminya, Tan Kok Teong, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.

Mengikut pertuduhan dan sumber, mereka didakwa memperdagangkan beberapa wanita warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi buruh paksa di beberapa lokasi sekitar daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai Tengah antara Ogos 2025 hingga Mei tahun ini.

Kes dikendalikan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, Tan turut mengaku tidak bersalah terhadap empat lagi pertuduhan serupa di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong memohon jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam bela, Arvend Rajan memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan Chan merupakan pencari nafkah utama keluarga dengan pendapatan bulanan sekitar RM3,000 hingga RM5,000.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, menjadikan keseluruhan wang jaminan berjumlah RM240,000.

Mahkamah menetapkan 30 Jun depan untuk sebutan semula kes di hadapan Ooi, manakala prosiding di hadapan Roslan ditetapkan pada 2 Julai. – WacanaKini