KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani komited memastikan Sabah dan Sarawak terus menerima manfaat pembangunan yang adil dan berterusan selaras dengan aspirasi memperkukuh kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen tersebut merangkumi usaha meningkatkan peluang pendidikan, memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti, mempercepat pembangunan infrastruktur asas serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
Menurut beliau, agenda pembangunan itu selari dengan semangat sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang diraikan masyarakat di Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan akan terus memastikan pembangunan yang dirancang dapat memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat agar kehidupan mereka menjadi lebih baik dan bermaruah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, Kaamatan dan Gawai bukan sekadar perayaan tradisi, malah melambangkan kesyukuran atas hasil tuaian serta warisan budaya yang kaya dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa kepelbagaian adat, bahasa dan budaya yang wujud di negara ini merupakan kekuatan yang perlu terus dipelihara bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan nasional.
“Sambutan ini mengingatkan kita bahawa kekuatan Malaysia terletak pada keupayaan rakyat hidup dalam suasana saling menghormati, memahami dan bekerjasama walaupun berbeza latar belakang,” katanya.
Beliau turut mengucapkan “Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan” dan “Gayu Guru Gerai Nyamai” kepada seluruh masyarakat Sabah dan Sarawak serta berharap sambutan itu membawa kemakmuran, keberkatan dan mengukuhkan lagi semangat muafakat dalam kalangan rakyat Malaysia. – WacanaKini
