Nasional Utama

Khaled akan bangkitkan isu pembatalan peluru berpandu NSM dalam pertemuan dengan Norway

PUTRAJAYA – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Norway, Tore O. Sandvik esok bagi membincangkan isu pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) yang diperuntukkan untuk aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pertemuan itu dijadual berlangsung di luar sesi Dialog Shangri-La di Singapura dan dijangka menjadi medan bagi Malaysia menyuarakan pendirian berhubung tindakan kerajaan Norway yang menarik balik lesen eksport sistem persenjataan berkenaan.

Khaled berkata, beliau akan menyampaikan rasa kecewa serta ketidakpuasan hati Malaysia terhadap keputusan yang disifatkan memberi kesan besar kepada perancangan pertahanan negara.

“Saya akan bertemu mereka esok dan menyatakan pendirian Malaysia mengenai tindakan yang diambil oleh Norway dalam isu ini,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan mengemukakan notis tuntutan kepada sebuah syarikat pertahanan Norway susulan pembatalan lesen eksport peluru berpandu NSM yang diperoleh untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan frigat kelas Lekiu.

Tuntutan tersebut dikatakan melibatkan kerugian melebihi RM1 bilion yang merangkumi kos langsung dan tidak langsung akibat keputusan unilateral berkenaan.

Menurut Khaled, Malaysia telah membuat pembayaran sebanyak €126 juta (kira-kira RM583 juta), iaitu bersamaan 95 peratus daripada nilai kontrak sebelum lesen eksport itu dibatalkan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Malaysia akan terus mengutamakan kerjasama pertahanan yang berasaskan kepercayaan, perkongsian teknologi dan hubungan strategik jangka panjang.

Katanya, negara ini menilai rakan pertahanan bukan sekadar sebagai pembekal aset ketenteraan, sebaliknya berdasarkan komitmen mereka terhadap kerjasama yang lebih menyeluruh dan boleh dipercayai.

“Malaysia memilih rakan yang sanggup menjadi rakan strategik serta menyokong aspirasi negara termasuk usaha memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan dan mencapai tahap berdikari dalam sektor pertahanan,” katanya.

Beliau menambah, pendekatan tersebut akan terus menjadi antara pertimbangan utama dalam urusan perolehan pertahanan negara pada masa hadapan. – WacanaKini