CHERAS – Rapid Rail akan melaksanakan operasi mengangkat gerabak tren yang tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin selepas tamat perkhidmatan tren malam ini bagi mempercepatkan proses pemulihan Laluan Ampang/Sri Petaling.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan operasi berkenaan akan dikendalikan oleh pasukan teknikal dan kejuruteraan dengan melibatkan penggunaan kren khas serta beberapa prosedur teknikal yang kompleks.
Menurut Rapid Rail, persediaan untuk operasi tersebut dijadualkan bermula lewat petang sebelum kerja mengangkat gerabak dilaksanakan sekitar jam 12 tengah malam.
“Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha pemulihan menyeluruh bagi memastikan perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling dapat kembali beroperasi dengan selamat dan lancar,” menurut kenyataan itu hari ini.
Bagaimanapun, syarikat itu memaklumkan faktor cuaca termasuk hujan lebat dan keadaan permukaan kerja yang basah berpotensi memberi cabaran kepada pasukan teknikal serta mempengaruhi tempoh pelaksanaan kerja pemulihan.
Rapid Rail berkata, pasukan teknikal bersama kontraktor berkaitan masih berada di lokasi bagi memastikan kerja pembaikan dapat dijalankan secepat mungkin.
Sementara itu, perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara percuma yang diperkenalkan sebelum ini akan terus disediakan bagi membantu pergerakan penumpang sepanjang tempoh gangguan.
Pengguna juga digalakkan menggunakan laluan rel lain seperti Laluan Kelana Jaya, Laluan Putrajaya, Laluan Kajang dan Monorel KL melalui stesen pertukaran yang bersesuaian.
Dalam pada itu, anggota Polis Bantuan, petugas stesen dan Rapid Troopers terus ditempatkan di stesen terlibat bagi membantu mengurus aliran penumpang serta memastikan keselamatan pengguna.
Orang ramai disaran mengikuti perkembangan terkini operasi dan perkhidmatan menerusi platform media sosial rasmi Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE. – WacanaKini
