Jenayah Utama

Fahmi gesa mangsa penipuan segera hubungi talian 997

PUTRAJAYA – Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam talian disaran segera menghubungi talian 997 bagi membolehkan tindakan pantas diambil oleh pihak berkuasa untuk mengesan dan menyekat aliran wang yang terlibat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ancaman penipuan digital kini semakin membimbangkan apabila sindiket scam menggunakan pelbagai taktik baharu yang lebih sukar dikesan.

Menurut beliau, sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa sekiranya tidak sentiasa berwaspada terhadap helah yang digunakan penjenayah siber.

“Hubungi talian 997 dengan segera jika anda menjadi mangsa penipuan.

“Scammer pada hari ini semakin licik dan sentiasa mencari peluang untuk memperdaya orang ramai,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi berkata, program Be Smart, Avoid Scam: Scam Awareness For Everyone (SAFE) diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pelbagai bentuk penipuan digital yang semakin berleluasa.

Katanya, program itu bukan sahaja membantu orang ramai mengenal pasti modus operandi sindiket scam, malah memberi pendedahan mengenai langkah keselamatan siber dan pengurusan kewangan yang lebih selamat.

Beliau berharap usaha berterusan melalui program kesedaran seperti SAFE dapat memperkukuh pengetahuan masyarakat sekali gus mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan dalam talian.

“Semoga lebih ramai rakyat memperoleh manfaat daripada inisiatif ini dan lebih bersedia melindungi diri serta keluarga daripada ancaman scammer,” katanya. – WacanaKini