Politik Utama

Tuan Ibrahim nafi tunggak sewa pusat khidmat, sifatkan tuduhan sebagai fitnah

KOTA BHARU – Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan bahawa beliau gagal menjelaskan bayaran sewa Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kubang Kerian (PKPKK), sambil menegaskan tuduhan tersebut tidak berasas dan bersifat fitnah.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini, beliau berkata bayaran sewa premis berkenaan dibuat secara konsisten setiap bulan dan tidak pernah tertunggak seperti yang didakwa pihak tertentu.

Bagi menyokong penjelasannya, Tuan Ibrahim turut mengemukakan rekod pembayaran sewa dari Januari 2025 hingga April 2026.

Menurut bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu, bayaran sewa bagi Mei 2026 pula telah diselaraskan menggunakan baki deposit yang masih dipegang susulan arahan pengosongan premis oleh pemilik bangunan.

“Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya saya tidak menjelaskan bayaran sewa adalah tidak benar dan perlu dibuktikan.

“Semua tuduhan yang dilemparkan terhadap saya berkaitan perkara ini adalah fitnah,” katanya.

Beliau berkata, isu tersebut tidak seharusnya dipanjangkan kerana terdapat banyak perkara lain yang lebih penting untuk diberi perhatian demi kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menegaskan beliau akan mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan reputasi dirinya serta PAS daripada terus dikaitkan dengan dakwaan berkenaan.

“Saya telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi membersihkan nama saya dan parti daripada tuduhan yang tidak berasas ini,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya serta menyeru semua pihak mengelakkan perbuatan memfitnah yang boleh menjejaskan maruah individu lain. – WacanaKini