MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan seorang lelaki dan wanita yang disyaki berkhalwat selepas ditemui berdua-duaan di dalam sebuah bas yang diletakkan di Jalan Hang Tuah, awal pagi semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 1.50 pagi itu, pasangan berusia 37 dan 46 tahun berkenaan ditemui sedang tidur bersebelahan di kerusi bas berkenaan.
Pengarah JAIM, Datuk Md. Azhan Samat berkata, tindakan penguatkuasaan dijalankan susulan maklumat orang awam yang melaporkan keadaan mencurigakan melibatkan pasangan tersebut.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang bekerja sebagai pemandu bas dan wanita berstatus ibu tunggal itu gagal mengemukakan sebarang bukti yang menunjukkan mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.
“Ketika disoal siasat, kedua-duanya memaklumkan mereka hanya berehat selepas keluar makan bersama sebelum tertidur di dalam bas tersebut.
“Bagaimanapun, mereka tidak dapat mengemukakan dokumen atau bukti yang mengesahkan hubungan yang sah mengikut hukum syarak,” katanya.
Beliau berkata, pasangan yang berasal dari Melaka itu kemudiannya dibawa ke pejabat JAIM bagi tujuan dokumentasi serta siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang syariah yang berkuat kuasa di negeri ini. – WacanaKini
