KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka lima kertas siasatan berhubung beberapa kes membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk perkara yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini seramai 127 individu telah dipanggil dan dirakam keterangan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Menurutnya, siasatan kes berkenaan melibatkan beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Beberapa orang lagi akan dipanggil untuk diambil keterangan, termasuk saksi dari luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, PDRM memberi jaminan bahawa siasatan akan dilaksanakan secara bebas, telus dan profesional, selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau menegaskan, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak sekiranya hasil siasatan mendapati wujud unsur jenayah.
“Mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, penyebaran maklumat tanpa berasaskan fakta boleh mengelirukan masyarakat selain berisiko menjejaskan kelancaran proses siasatan.
“Sebarang kenyataan atau penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan.
“Sehubungan itu, orang ramai diseru mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi,” katanya.
Perkembangan itu berlaku ketika siasatan terhadap isu yang dibangkitkan dalam Laporan RCI TH terus mendapat perhatian.
Terdahulu hari ini, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH direman selama tujuh hari sehingga 27 Ogos bagi membantu siasatan berkaitan laporan berkenaan.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Laporan RCI TH yang didedahkan selepas empat tahun mengandungi 25 syor utama bagi memperkukuh ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi berkenaan.
Antara syor yang diketengahkan ialah larangan terhadap ahli politik aktif daripada menganggotai Lembaga Pengarah TH sebagai langkah mengurangkan risiko campur tangan politik dalam pengurusan institusi itu.
