PUTRAJAYA – Aliran trafik menuju ke ibu negara dilaporkan sesak petang ini apabila ramai perantau dan pengguna jalan raya mengambil keputusan pulang lebih awal meskipun cuti umum dan cuti sekolah masih berlangsung sehingga Selasa.
Tinjauan di media sosial mendapati pelbagai perkongsian mengenai kesesakan di lebuh raya utama yang menghala ke Kuala Lumpur, terutama dari Pantai Timur, dengan sebahagian pengguna turut melaporkan laluan alternatif mengalami keadaan sama.
Seorang pengguna Thread, Nissays, memuat naik gambar menunjukkan kesesakan lalu lintas selepas Plaza Tol Bentong menghala ke Gombak.
“Awalnya orang Pantai Timur balik Kuala Lumpur. Bukan cuti sampai Selasa ke? Sekian kemas kini trafik Tol Bentong ke Gombak,” tulisnya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna lain yang turut berdepan situasi sama ketika dalam perjalanan pulang.
Ada yang meluahkan rasa terkejut melihat kesesakan berlaku lebih awal daripada jangkaan memandangkan masih terdapat baki cuti umum dan cuti sekolah.
Seorang pengguna, Ztilsymimi, mempersoalkan tindakan ramai yang memilih pulang lebih awal, manakala pengguna lain, Izasarliza, berkata beliau terpaksa menggunakan laluan lama melalui Genting Sempah akibat kesesakan di lebuh raya utama.
Seorang lagi pengguna, Azmyn.azyz, berkata beliau menjangkakan orang ramai hanya akan pulang pada Isnin atau Selasa, namun keadaan sesak sudah berlaku sejak Ahad.
Dalam pada itu, pengguna lain berpendapat kesesakan di Plaza Tol Bentong bukan perkara luar biasa kerana kawasan tersebut sememangnya sering mengalami peningkatan trafik terutama pada musim cuti dan perayaan.
Sementara itu, ada juga yang berpendapat ramai memilih kembali ke ibu negara lebih awal untuk menghabiskan baki cuti bersama keluarga atau mengunjungi lokasi tumpuan di sekitar Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan bahawa pekerja layak menerima cuti gantian pada Selasa sempena sambutan Hari Wesak yang jatuh pada hari ini.
Selain itu, Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang disambut esok turut merupakan cuti umum wajib yang perlu diberikan kepada pekerja mengikut peruntukan Akta Kerja 1955. – WacanaKini
