Jenayah Utama

Pasangan suami isteri maut selepas Myvi terbabas dalam hujan lebat

MERSING – Sepasang suami isteri maut selepas kereta Perodua Myvi yang mereka naiki dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan dua kenderaan lain dalam kemalangan di Kilometer 19 Jalan Endau-Mersing, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan yang melibatkan sebuah Perodua Myvi, Toyota Innova dan Chery Omoda kira-kira jam 5.10 petang.

Menurut beliau, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Firdaus Muhamad Bustaman, 24, dan isterinya, Siti Nur Aisyah Anoor Beet Babjan Kahar, 23, dari Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

“Siasatan awal mendapati Perodua Myvi yang dinaiki pasangan berkenaan sedang dalam perjalanan menuju ke Mersing sebelum dipercayai hilang kawalan ketika hujan lebat.

“Kenderaan itu kemudian memasuki laluan bertentangan dan merempuh Toyota Innova serta Chery Omoda,” katanya dalam satu kenyataan.

Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam kejadian sama, pemandu Toyota Innova dilaporkan mengalami patah jari kaki kanan manakala isterinya cedera ringan. Pemandu Chery Omoda yang berusia 75 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Sheral Anuar Mawarday berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam Perodua Myvi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – WacanaKini