Jenayah Utama

Polis tahan lelaki berrekod 20 kes jenayah disyaki ragut rantai emas RM14,000

CHERAS – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang mempunyai kira-kira 20 rekod jenayah lampau kerana disyaki terlibat dalam kejadian ragut rantai emas dan loket bernilai hampir RM14,000 di Taman Connaught, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu diberkas dalam satu operasi di Bandar Kinrara, Puchong pada 24 Mei lalu.

Menurut beliau, kejadian ragut berkenaan berlaku pada 12 April kira-kira jam 8 pagi ketika mangsa sedang menikmati sarapan bersama isterinya di bahagian luar sebuah kopitiam.

“Siasatan mendapati seorang lelaki yang menunggang motosikal telah menghampiri mangsa dari arah belakang sebelum meragut rantai leher emas beserta loket miliknya.

“Suspek kemudian melarikan diri sejurus selepas melakukan perbuatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan maklumat dan risikan yang dijalankan, polis melancarkan serbuan kira-kira jam 2.30 petang di Jalan Kinrara 6, Bandar Kinrara dan berjaya menahan suspek untuk membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

Bagaimanapun, permohonan reman terhadap suspek telah ditolak oleh mahkamah dan lelaki itu kini dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tindakan lanjut.

“Kes telah lengkap disiasat dan kertas siasatan sudah dirujuk bagi proses selanjutnya,” katanya. – WacanaKini