KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan diteruskan seperti dijadualkan bermula 22 Jun ini, sekali gus menepis spekulasi bahawa persidangan Dewan Rakyat mungkin ditangguhkan susulan perkembangan politik di beberapa negeri.
Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan setakat ini tiada sebarang perubahan dibuat terhadap takwim rasmi persidangan yang telah ditetapkan.
“Setakat ini, tiada sebarang perubahan pada jadual persidangan Dewan Rakyat yang telah dipaparkan dalam takwim rasmi Parlimen,” menurut kenyataan pejabat beliau pada Jumaat.
Berdasarkan takwim yang dipaparkan di portal rasmi Parlimen, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 16 hari bermula 22 Jun hingga 16 Julai depan.
Sebelum ini, timbul khabar angin bahawa persidangan Dewan Rakyat mungkin tidak diteruskan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa negeri Semenanjung.
Spekulasi itu muncul susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan dalam tempoh kurang seminggu.
Pada Isnin lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Semalam pula, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi selepas memperoleh perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Mesyuarat pertama Dewan Rakyat bagi Penggal Kelima Parlimen ke-15 sebelum ini berakhir pada 3 Mac lalu selepas bersidang selama 20 hari. – WacanaKini
