KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengendalikan siasatan kes projek pembinaan jalan dan terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion mengakui tidak menyiasat dakwaan hubungan antara Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dengan syarikat VST Cemerlang yang terlibat dalam proses tender projek berkenaan.
Penguasa Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Zulhilmi Ramli, berkata beliau tidak mengetahui sama ada Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) itu mempunyai kaitan dengan VST Cemerlang kerana perkara tersebut tidak termasuk dalam skop siasatan yang dijalankan.
Ketika disoal balas peguam Haijan Omar yang mewakili Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen pada Jumaat, Zulhilmi menjelaskan siasatan hanya dibuat berdasarkan aduan yang diterima.
Beliau turut mengakui tidak dimaklumkan mengenai sebab atau tujuan VST Cemerlang menyertai tender terbuka projek tersebut.
Haijan kemudian mencadangkan bahawa Zarul Ahmad mempunyai peranan dalam meletakkan VST Cemerlang sebagai antara pembida projek berkenaan, namun saksi berulang kali menyatakan beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai dakwaan tersebut.
“Saya tidak tahu,” jawab Zulhilmi apabila ditanya mengenai kemungkinan Zarul Ahmad mempunyai kaitan dengan penyertaan VST Cemerlang dalam proses tender itu.
Beliau juga mengesahkan tidak menjalankan siasatan khusus berhubung hubungan antara Zarul Ahmad dan syarikat berkenaan serta hanya mengetahui bahawa ahli perniagaan itu mempunyai kaitan dengan CZBUCG.
Bagaimanapun, Zulhilmi tidak bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa aspek tersebut merupakan perkara penting yang telah diabaikan dalam siasatan SPRM.
Dalam prosiding sama, saksi turut bersetuju bahawa berdasarkan dokumen penilaian tender yang dirujuk, VST Cemerlang dan CZBUCG merupakan antara syarikat yang memperoleh markah tertinggi dalam proses penilaian projek berkenaan.
Lim Guan Eng, 66, berdepan pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mendapatkan suapan dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek jalan utama dan terowong dasar laut bernilai RM6.34 bilion.
Beliau turut didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan projek tersebut sebagai balasan membantu mendapatkan projek berkenaan.
Selain itu, Ahli Parlimen Bagan itu juga berdepan dua pertuduhan melupuskan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta kepada syarikat pemaju yang terlibat dalam projek sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi akan bersambung pada 23 dan 24 Julai depan. – WacanaKini
