KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana peminjam yang gagal melunaskan pinjaman, termasuk membawa kes ke mahkamah bagi memastikan wang rakyat dikembalikan.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pinjaman yang disalurkan oleh agensi itu merupakan amanah rakyat dan bukannya dana milik individu yang boleh dikecualikan sesuka hati.
Menurut beliau, tindakan tegas terhadap peminjam culas menjadi antara fokus utama sejak beliau menerajui MARA bagi memastikan dana berkenaan dapat dimanfaatkan semula oleh golongan yang memerlukan.
“Kalau namanya pinjaman, maka ia wajib dibayar semula. Wang yang dipinjamkan bukan milik peribadi, tetapi wang rakyat yang perlu dipertanggungjawabkan.
“Sebab itu saya menegaskan kepada pengurusan MARA supaya tidak melayan sebarang permohonan pengecualian bayaran, termasuk daripada individu berpengaruh atau berkedudukan tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Asyraf Wajdi berkata, MARA tidak mempunyai hak untuk memaafkan peminjam yang sengaja mengabaikan tanggungjawab mereka kerana setiap dana yang disalurkan tertakluk kepada amanah dan mandat rakyat.
Beliau menjelaskan, aspek disiplin kewangan turut menjadi antara komponen penting dalam agenda Transformasi MARA yang sedang dilaksanakan bagi mengelakkan ketirisan dan memastikan pengurusan dana awam lebih berintegriti.
Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Sungai Petani yang menolak rayuan seorang wanita dan tiga penjaminnya terhadap perintah membayar semula pinjaman pendidikan MARA berjumlah RM857,000.
Pesuruhjaya Kehakiman, Darmafikri Abu Adam memutuskan bahawa rayuan tersebut tidak mempunyai merit dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Mahkamah turut memutuskan bahawa tuntutan MARA tidak terhalang oleh Akta Had Masa 1953 kerana tindakan undang-undang difailkan dalam tempoh yang dibenarkan.
Peminjam terbabit, Siti Norbaya Ahmad Nor, 45, menerima pinjaman MARA pada 2011 untuk mengikuti pengajian sarjana di University of Manchester dan kemudiannya memperoleh pinjaman kedua pada 2013 bagi melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) di University of Cambridge.
Tiga ahli keluarganya bertindak sebagai penjamin bagi kedua-dua pinjaman tersebut.
MARA memfailkan tindakan undang-undang selepas mendakwa peminjam gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman seperti yang dipersetujui dalam perjanjian. – WacanaKini
