SUNGAI BULOH – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menunggu kelulusan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Selangor bagi proses pengambilan tanah yang dikenal pasti untuk pembinaan Klinik Kesihatan (KK) Puncak Alam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, permohonan pengambilan tanah di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah telah dikemukakan kepada JKPTG pada 28 April lalu.
Menurut beliau, tapak yang dicadangkan terletak di kawasan Alam Suria, Puncak Alam dan melibatkan beberapa lot komersial sedia ada.
“Kita sedang melalui proses pengambilan tanah dan apabila ia selesai, kawasan tersebut akan menjadi hak milik KKM untuk tujuan pembangunan fasiliti kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Korban Perdana Parlimen Kuala Selangor di Bandar Puncak Alam, hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, kawasan yang dikenal pasti melibatkan 11 lot dan bakal menempatkan Klinik Kesihatan Tahap 3 bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan penduduk yang semakin bertambah di Puncak Alam dan kawasan sekitarnya.
Beliau berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan awal sebanyak RM5 juta untuk kerja-kerja persediaan projek tersebut.
“Buat masa ini, RM5 juta telah diperuntukkan untuk kerja awalan, manakala kos keseluruhan pembinaan dianggarkan sekitar RM50 juta atau lebih,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya proses kelulusan dan pengambilan tanah dapat diselesaikan mengikut jadual, pembinaan klinik itu dijangka bermula pada tahun 2027.
Tambahnya, KKM juga akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi mempercepatkan urusan berkaitan projek tersebut.
“Pada dasarnya semua pihak telah menyatakan persetujuan dan kita berharap proses kelulusan dapat disegerakan supaya projek ini dapat dilaksanakan seperti yang dirancang,” katanya. – WacanaKini
