KUCHING – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi mencerminkan keprihatinan terhadap rakyat apabila baginda berkenan berhenti dan membantu mangsa kemalangan jalan raya di Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Kampung Stungkor, Jalan Bau-Lundu, di sini pada Jumaat.
Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu berlaku ketika baginda dalam perjalanan dari Lundu ke Kuching selepas berkenan merasmikan Masjid Al-Sultan Abdullah Telok Melano, Sarawak.
Menurut hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, Al-Sultan Abdullah yang memandu sendiri terlihat kemalangan membabitkan sebuah motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri dengan sebuah kereta dipandu seorang wanita tempatan.
Baginda kemudiannya segera menghentikan kenderaan dan menitahkan ambulans yang mengiringi konvoi untuk memberikan bantuan kepada pasangan terbabit.
“Paduka Baginda segera menitahkan agar ambulans yang bersama-sama konvoi membantu kedua-dua mangsa yang agak parah agar dibawa ke Hospital Lundu untuk mendapatkan rawatan,” menurut hantaran itu.
Di sebalik cuaca panas terik, baginda turut turun sendiri ke lokasi bagi melihat keadaan mangsa dan bertanyakan situasi mereka.
Baginda juga meluangkan masa menenangkan kedua-dua mangsa sebelum meneruskan perjalanan ke Kuching.
Tindakan spontan Sultan Pahang itu sekali lagi menyerlahkan keprihatinan baginda terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang atau keadaan.
