MASJID TANAH – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan kerajaan negeri tidak berada di bawah tekanan politik untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak dengan Johor dan Negeri Sembilan.
Menurut beliau, Melaka mempunyai pertimbangan tersendiri dalam menentukan masa paling sesuai untuk mengadakan pilihan raya negeri memandangkan penggal DUN sedia ada hanya akan berakhir pada penghujung tahun ini.
Bagaimanapun, Ab Rauf tidak menolak kemungkinan PRN Melaka berlangsung serentak dengan negeri lain sekiranya keadaan memerlukan.
“Dalam politik, tiada yang mustahil. Politik adalah seni seribu satu kemungkinan. Apa pun, kita tunggu dan lihat,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis kesyukuran di kediamannya di sini malam ini.
Beliau berkata, situasi politik di Melaka berbeza dengan Johor dan Negeri Sembilan, justeru tiada keperluan mendesak untuk membubarkan DUN dalam masa terdekat.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran dan kebajikan rakyat sehingga satu keputusan rasmi mengenai pembubaran DUN dibuat.
“Melaka tidak perlu mengikut rentak politik negeri lain. Kita akan terus menjalankan tanggungjawab mentadbir negeri dan menyantuni rakyat sehingga tiba masanya untuk membuat pengumuman rasmi,” katanya.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka menjelaskan sebarang keputusan berkaitan pembubaran DUN perlu mengambil kira aspek kestabilan kerajaan negeri serta keutamaan menyelesaikan agenda pembangunan dan kepentingan rakyat.
Dalam masa sama, beliau berkata Melaka kini memberi fokus membantu jentera Barisan Nasional (BN) menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan terlebih dahulu.
Menurutnya, keputusan pilihan raya di kedua-dua negeri berkenaan turut akan menjadi antara faktor yang dinilai sebelum kerajaan negeri membuat sebarang keputusan mengenai tarikh pembubaran DUN Melaka.
“Sebagai negeri jiran, kita akan membantu jentera BN bagi memastikan kemenangan parti di Johor dan Negeri Sembilan. Hasil keputusan di kedua-dua negeri itu akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat di Melaka,” katanya. – WacanaKini
