KANGAR – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta semua pihak tidak memberi reaksi berlebihan terhadap kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung pendiriannya terhadap DAP.
Menurut beliau, kenyataan Onn Hafiz perlu dilihat dalam konteks prinsip politik dan landskap semasa Johor, bukannya ditafsirkan sebagai bersifat perkauman atau chauvinis.
Zambry berkata, Menteri Besar Johor itu selama ini telah membuktikan komitmennya dalam mentadbir negeri untuk kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.
“Beliau bukan seorang yang bersikap perkauman atau chauvinis apabila menyatakan pendirian terhadap kerjasama dengan DAP.
“Sebaliknya, pendirian itu lahir daripada pertimbangan politik dan prinsip yang dipegang, sambil terus mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau turut menjelaskan bahawa Johor sebelum ini ditadbir oleh BN sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, justeru pendirian yang dinyatakan oleh Onn Hafiz perlu dinilai berdasarkan realiti politik negeri serta mandat yang diperjuangkan oleh BN Johor.
Dalam masa sama, Zambry berkata, UMNO dan BN juga sering menjadi sasaran kritikan serta kecaman daripada pelbagai pihak di pentas politik, namun perkara itu tidak dijadikan alasan untuk mencetuskan polemik berpanjangan.
“Pelbagai kritikan terhadap UMNO dan BN sering dilontarkan oleh pihak lain, namun kita tidak membesar-besarkan perkara tersebut atau bertindak balas secara keterlaluan,” katanya.
Menurut beliau, keutamaan ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh kestabilan politik, memacu pertumbuhan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.
Zambry berkata, semua pihak perlu menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan menawarkan idea, dasar dan penyelesaian yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.
“Rakyat akhirnya akan membuat penilaian berdasarkan prestasi, rekod perkhidmatan dan keupayaan sesebuah parti atau pemimpin mentadbir, bukannya melalui retorik yang boleh memecahbelahkan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Onn Hafiz dilaporkan menegaskan bahawa DAP tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Johor sekiranya BN terus diberi mandat mentadbir negeri itu selepas PRN akan datang. – WacanaKini
