Nasional Utama

Aksi JDT-Chelsea diawalkan ke 9 Ogos, tiket sedia ada kekal sah

KUALA LUMPUR – Perlawanan persahabatan yang dinanti-nantikan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Chelsea FC akan berlangsung lebih awal apabila tarikh aksi berkenaan dipinda ke 9 Ogos di Stadium Sultan Ibrahim.

Sebelum ini, pertemuan antara juara Liga Super Malaysia dan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu dijadualkan berlangsung pada 11 Ogos.

Penganjur, TEG Sport memaklumkan perubahan tarikh dibuat hasil persetujuan bersama kedua-dua pasukan bagi membolehkan mereka mempunyai tempoh persediaan yang lebih panjang menjelang musim baharu.

Menurut TEG Sport, keputusan itu dilihat memberi manfaat kepada Chelsea dan JDT dalam merancang jadual latihan serta persiapan pramusim masing-masing.

“Chelsea FC dan JDT menyambut baik perubahan jadual ini kerana ia memberikan lebih banyak masa untuk kedua-dua pasukan membuat persiapan menghadapi musim baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, semua tiket yang telah dibeli sebelum ini kekal sah untuk digunakan pada tarikh baharu tanpa memerlukan sebarang pertukaran atau pengesahan semula.

Pemegang tiket hanya perlu hadir ke stadium pada 9 Ogos dengan menggunakan tiket yang sama.

Bagaimanapun, penyokong yang tidak dapat menghadiri perlawanan pada tarikh baharu itu diberi pilihan untuk memohon bayaran balik penuh, termasuk yuran kemudahan sebanyak tiga peratus yang dikenakan ketika pembelian.

Permohonan bayaran balik boleh dibuat melalui e-mel kepada pihak penjual tiket sebelum 30 Jun, manakala proses pembayaran dijangka selesai dalam tempoh antara tujuh hingga 14 hari bekerja.

Perlawanan tersebut sebelum ini mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan selepas Chelsea mengesahkan akan membawa skuad utama mereka ke Malaysia sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi musim 2026/27.

Aksi berprestij itu turut menjadi peluang terbaik buat JDT mengukur kemampuan menentang salah satu kelab elit Eropah di hadapan penyokong sendiri. – WacanaKini