Jenayah Utama

Pusat Racun Negara bimbang vape jadi medium baharu penyalahgunaan dadah

GEORGE TOWN – Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia (USM) memberi amaran bahawa peningkatan penggunaan vape di negara ini bukan sahaja menimbulkan risiko kesihatan, malah berpotensi menjadi saluran baharu bagi penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang yang sukar dikesan.

Pengarah PRN, Dr Nur Azzalia Kamaruzaman berkata, perkembangan pesat industri vape sejak beberapa tahun kebelakangan ini dilihat jauh mendahului usaha kawal selia yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Menurut beliau, evolusi produk vape daripada sistem terbuka kepada sistem tertutup dan peranti pakai buang menjadikannya lebih mudah diperoleh, lebih murah serta semakin popular dalam kalangan pelbagai kelompok masyarakat termasuk remaja dan kanak-kanak.

“Perubahan bukan hanya melibatkan reka bentuk peranti, tetapi juga kandungannya. Kini terdapat penggunaan garam nikotin (nicotine salt) dan nikotin sintetik yang menjadikan proses pengesanan serta penilaian kesan toksik lebih kompleks.

“Lebih membimbangkan, vape tidak lagi digunakan semata-mata untuk nikotin, sebaliknya mula disalahgunakan sebagai medium pengambilan bahan terlarang seperti kanabis sintetik, fentanyl dan etomidate,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, cabaran utama ketika ini ialah kemampuan makmal untuk mengesan kandungan bahan terlarang dalam vape yang masih terhad serta memerlukan kos analisis yang tinggi.

Dalam masa sama, statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan trend penggunaan vape dalam kalangan remaja terus meningkat, daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022.

Menurut Dr Nur Azzalia, peningkatan itu menggambarkan semakin ramai golongan muda terdedah kepada nikotin dan risiko ketagihan pada usia yang lebih awal.

Beliau turut menjelaskan bahawa data kes keracunan berkaitan vape yang direkodkan oleh PRN tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana ia hanya berdasarkan panggilan yang diterima untuk tujuan pengurusan kes keracunan, bukannya sistem pelaporan nasional.

“Keadaan ini boleh dianggap sebagai bom jangka yang berpotensi mencetuskan implikasi kesihatan awam yang lebih serius pada masa depan jika tidak ditangani dengan berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, PRN menyatakan sokongan terhadap usaha Kementerian Kesihatan dan gesaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneliti langkah lebih tegas termasuk kemungkinan mengharamkan penggunaan vape bagi melindungi kesihatan rakyat, khususnya generasi muda. – WacanaKini