Jenayah Utama

Polis buru lima suspek curi kabel TM guna tiga BMW di TTDI

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), awal pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, siasatan dimulakan selepas pihaknya mengesan video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai sedang mengeluarkan kabel utiliti menggunakan sebuah kereta mewah.

Menurut beliau, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi pada 8 Jun lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati seorang saksi yang menjalankan kerja berkaitan topografi ternampak lima lelaki tidak dikenali sedang menarik keluar kabel milik TM dari sebuah lubang utiliti (manhole).

“Mereka dipercayai menggunakan sebuah kereta BMW ketika melakukan kegiatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, saksi berkenaan kemudian menegur kumpulan itu sebelum kesemua suspek bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.

Siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai menggunakan tiga buah kenderaan BMW untuk meloloskan diri, iaitu dua berwarna putih dan sebuah lagi berwarna hitam.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi turut mengesahkan penglibatan lima lelaki serta penggunaan tiga kenderaan seperti yang dilaporkan oleh saksi,” katanya.

Menurut Chang Hook, polis kini sedang giat menjalankan usaha mengesan identiti dan lokasi semua suspek yang terlibat.

Dalam perkembangan sama, pihak Telekom Malaysia telah membantu siasatan dan mengesahkan kerugian akibat kejadian itu dianggarkan mencecah RM20,000.

Susulan insiden berkenaan, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

“Kerjasama masyarakat amat penting bagi membanteras kegiatan jenayah yang melibatkan infrastruktur utiliti awam kerana ia boleh menyebabkan kerugian besar serta menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi kepada pengguna,” katanya. – WacanaKini