Nasional Utama

Kerajaan pertimbang insentif Belanjawan 2027 galak PMKS guna teknologi 5G

SHAH ALAM – Kementerian Komunikasi bercadang memperkenalkan insentif khas dalam Belanjawan 2027 bagi menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengadaptasi teknologi 5G dalam operasi perniagaan, khususnya sektor logistik, perkilangan dan industri.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, cadangan itu sedang diperhalusi sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam penyediaan Belanjawan 2027.

Menurut beliau, penggunaan teknologi 5G Standalone (5G-SA) mampu membantu PMKS meningkatkan produktiviti, memperkukuh kecekapan operasi serta menambah baik aspek keselamatan di tempat kerja.

“Kita mahu lebih banyak PMKS melihat sendiri potensi yang boleh dimanfaatkan melalui teknologi 5G dalam operasi harian mereka.

“Beberapa cadangan insentif sedang dibincangkan dan akan dibawa kepada perhatian Kementerian Kewangan untuk pertimbangan lanjut,” katanya selepas merasmikan pelancaran Gudang Pintar Termaju CelcomDigi di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty dan Ketua Pegawai Teknologi CelcomDigi, T Kugan.

Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga telah diminta mengadakan perbincangan bersama syarikat telekomunikasi bagi mengenal pasti bentuk sokongan yang boleh diberikan kepada PMKS untuk mempercepatkan penggunaan aplikasi berasaskan 5G.

Beliau menjelaskan bahawa teknologi 5G kini semakin matang dengan kos peralatan yang semakin berpatutan berbanding beberapa tahun lalu, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk memanfaatkannya.

“Dalam persekitaran seperti gudang pintar, kilang dan operasi yang melibatkan Internet Kebendaan (IoT), teknologi 5G menawarkan keupayaan pemantauan dan automasi yang lebih cekap serta berkesan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, CelcomDigi melancarkan Gudang Pintar Termaju yang dikuasakan teknologi 5G-SA, sekali gus menjadi aplikasi industri perniagaan-ke-perniagaan (B2B) pertama seumpamanya di Malaysia.

Kemudahan itu mempamerkan bagaimana gabungan teknologi 5G, kecerdasan buatan (AI), robotik dan automasi mampu mentransformasikan pengurusan gudang serta rantaian bekalan secara menyeluruh.

Menurut CelcomDigi, penggunaan teknologi berkenaan berjaya meningkatkan penggunaan ruang gudang sehingga 30 peratus, memperbaiki kecekapan operasi melebihi 50 peratus serta mencapai ketepatan inventori sehingga 100 peratus.

Sementara itu, Albern berkata keterhubungan digital yang mantap kini menjadi elemen utama dalam mempercepatkan penggunaan AI dan automasi dalam sektor industri.

“Apabila semakin banyak industri beralih kepada AI dan automasi, rangkaian 5G-SA menjadi asas penting yang membolehkan pelaksanaan penyelesaian digital berimpak tinggi pada skala lebih besar,” katanya.

Inisiatif gudang pintar itu dibangunkan menerusi kerjasama beberapa rakan teknologi termasuk Move Robotics, Infinium Robotics, Ailytics, Cobra Security Electronics (CSE) dan ZTE yang menyumbang kepakaran dalam bidang robotik autonomi, analitik video berasaskan AI, dron inventori dan teknologi kembar digital. – WacanaKini