Politik Utama

Mahkamah putuskan hari ini tuntutan barang kemas RM68.3 juta terhadap Rosmah

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor dijangka mengetahui hari ini sama ada beliau bertanggungjawab terhadap kehilangan 43 barangan kemas mewah bernilai kira-kira RM68.3 juta yang didakwa hilang selepas serbuan polis di Pavilion Residences pada 2018.

Mahkamah Tinggi dijadual menyampaikan keputusan dalam saman yang difailkan syarikat barang kemas mewah dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL Ltd, yang menuntut nilai barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.57 juta (RM68.3 juta).

Hakim Datuk Quay Chew Soon turut dijangka memutuskan sama ada Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan, yang dinamakan Rosmah sebagai pihak ketiga dalam kes tersebut, mempunyai sebarang tanggungjawab terhadap kehilangan berkenaan atau perlu menanggung sebahagian pampasan sekiranya tuntutan itu berjaya.

Pertikaian berkenaan berpunca daripada 44 barangan kemas yang menurut Global Royalty Trading dihantar kepada Rosmah secara konsainan, namun tidak dipulangkan semula kepada syarikat itu.

Rosmah pula menegaskan barangan kemas tersebut hilang selepas polis menjalankan serbuan di Pavilion Residences susulan Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018 yang berkait dengan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sepanjang perbicaraan, mahkamah mendengar keterangan beberapa saksi utama termasuk Pengarah Urusan Global Royalty Trading, Samer Hassib Halimeh, Rosmah sendiri serta pegawai polis yang terlibat dalam operasi serbuan berkenaan.

Antara saksi yang memberi keterangan ialah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dan Asisten Komisioner Foo Wei Min dari Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram Bukit Aman.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa polis pada 17 Mei 2018 telah menggeledah unit kediaman milik anak-anak Datuk Seri Najib Razak, namun tidak menemui sebarang barangan berkaitan.

Siasatan kemudiannya membawa kepada serbuan sebuah unit yang tidak berpenghuni dan sedang diubah suai yang didaftarkan atas nama ahli perniagaan Tan Sri Bustari Yusuf. Dalam serbuan itu, polis merampas 71 beg, sebuah kotak plastik serta 284 kotak yang mengandungi pelbagai barangan termasuk beg tangan.

Menurut keterangan saksi polis, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan barangan tersebut dipindahkan ke unit berkenaan antara 11 Mei hingga awal pagi 12 Mei 2018.

Daripada 44 barangan kemas yang menjadi subjek tuntutan, hanya satu item berjaya dikenal pasti ketika pemeriksaan barang rampasan yang disimpan di Bank Negara Malaysia, iaitu gelang berlian dan zamrud, sebelum dipulangkan kepada syarikat berkenaan.

Global Royalty Trading memfailkan saman tersebut pada 26 Jun 2018 bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya Rosmah memulangkan barangan kemas yang terdiri daripada berlian, cincin, anting-anting, gelang dan sebuah tiara yang didakwa masih belum dikembalikan. – WacanaKini