SHAH ALAM – Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dijangka membuat pengumuman penting yang berpotensi mencorakkan landskap politik negara menerusi Konvensyen ‘Reset’ Malaysia di Tanah Merah, Kelantan, Sabtu ini.
Program yang dijadual berlangsung di Tapak Ekspo Kota Harmoni pada pukul 12.30 tengah hari itu dilihat menjadi pentas bagi Hamzah menjelaskan hala tuju politik beliau selepas berpisah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Mengulas mengenai konvensyen berkenaan, Hamzah berkata setiap negara akan sampai ke satu tahap yang memerlukan rakyat membuat pilihan sama ada terus berdepan perpecahan atau kembali kepada asas untuk membina masa depan yang lebih baik.
“Reset sekarang untuk masa hadapan,” katanya ringkas.
Spekulasi mengenai pengumuman besar itu semakin hangat apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan ribuan penyokong dijangka hadir bagi mendengar sendiri perancangan politik baharu yang bakal diterajui Hamzah.
Menurut beliau, jumlah kehadiran pada konvensyen itu dianggarkan mencecah 10,000 peserta, sekali gus mencerminkan minat dan sokongan terhadap gerakan yang diasaskan bekas Timbalan Presiden Bersatu tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut memberi bayangan bahawa pengumuman mengenai penubuhan sebuah parti politik baharu mungkin dibuat semasa atau selepas konvensyen berkenaan.
“Kami semua menyokong Hamzah. Keahlian dalam parti baharu hanya akan diumumkan selepas pengumuman rasmi mengenai penubuhannya,” katanya.
Hamzah sebelum ini melancarkan gerakan ‘Reset’ pada 14 Februari lalu bersama beberapa Ahli Parlimen dan penyokong akar umbi, sehari selepas beliau dipecat daripada Bersatu.
Beliau turut menyatakan kesediaan memimpin gerakan itu berasaskan konsensus nasional baharu yang disifatkan mampu menawarkan alternatif kepada rakyat menjelang pilihan raya akan datang.
Sekiranya parti baharu tidak ditubuhkan dalam masa terdekat, Hamzah yang kini berstatus Ahli Parlimen Bebas dijangka terus memainkan peranan bersama beberapa wakil rakyat lain yang turut kehilangan keahlian dalam Bersatu. – WacanaKini
