KUALA LUMPUR – Seramai 40,099 pelajar baharu yang melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) dan politeknik bagi sesi kemasukan Jun 2026 bakal menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 seorang daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Inisiatif melibatkan peruntukan keseluruhan RM60.1 juta itu bertujuan membantu pelajar menampung kos persediaan awal sebelum memulakan pengajian, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah.
Menurut PTPTN, kemudahan tersebut diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang memenuhi syarat kelayakan termasuk telah bersetuju menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi melalui UPUOnline atau portal universiti awam.
Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga perlu merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Pemberian WPP mencerminkan komitmen PTPTN dalam memastikan pelajar dapat memulakan pengajian dengan lebih bersedia serta tidak terbeban dengan kos awal kemasukan ke institusi pengajian tinggi,” menurut kenyataan PTPTN.
Sejak diperkenalkan pada 1999 hingga 30 April 2026, seramai 999,838 pelajar telah menerima manfaat WPP dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM1.48 bilion.
Pelajar yang layak boleh membuat semakan tawaran melalui aplikasi myPTPTN sebelum menunaikan bayaran tersebut di mana-mana cawangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara bermula 10 Jun hingga 9 Ogos 2026.
Bagi tujuan penebusan, pelajar perlu hadir sendiri dengan membawa surat tawaran WPP dan kad pengenalan, manakala urusan melalui wakil tidak dibenarkan.
Sebagai simbolik penyampaian bantuan, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim turut mengadakan sesi ziarah ke rumah beberapa pelajar penerima di Tasek Gelugor, Pulau Pinang bagi menyerahkan sendiri surat tawaran WPP.
Menurut beliau, PTPTN akan terus memainkan peranan dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
“WPP diwujudkan bagi membantu pelajar menampung sebahagian kos persediaan awal sebelum memulakan pengajian di universiti awam dan politeknik,” katanya.
PTPTN turut mengingatkan pelajar yang ingin memohon pinjaman pendidikan supaya membuat permohonan melalui aplikasi myPTPTN mengikut jadual yang ditetapkan oleh institusi masing-masing serta memastikan mereka mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi melengkapkan proses permohonan. – WacanaKini
