Nasional Utama

Steven Sim puji Tok Ayah Rosli Othman sebagai tokoh penyatu masyarakat pelbagai lapisan

GEORGE TOWN – Tokoh agama Pulau Pinang, Rosli Othman atau lebih dikenali sebagai Tok Ayah, disifatkan sebagai figura yang berjaya merapatkan hubungan masyarakat pelbagai latar belakang menerusi pendekatan dakwah yang sederhana, berilmu dan penuh hikmah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, Rosli bukan sahaja dihormati kerana keluasan ilmu agama yang dimiliki, malah dikenali sebagai murabbi yang membimbing masyarakat tanpa mengira usia, fahaman politik atau status sosial.

Menurut beliau, Tok Ayah merupakan antara tokoh agama yang banyak menyumbang kepada pembangunan keilmuan Islam di Pulau Pinang, termasuk pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Fatwa negeri dan panel tauliah yang menilai kelayakan guru agama.

“Keilmuan serta pengalaman luas yang dimiliki menjadikan beliau rujukan ramai, termasuk pemimpin politik yang mendapatkan pandangan dan nasihat dalam pelbagai perkara.

“Beliau juga mempunyai penguasaan bahasa Arab yang baik sehingga pernah membantu menyediakan teks ucapan pemimpin negara dalam bahasa tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Steven berkata, Rosli yang pernah memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) turut menghasilkan lebih 25 buah buku agama berbentuk terjemahan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, keperibadian Rosli yang merendah diri dan mudah didekati menjadi faktor utama beliau terus dihormati serta disenangi pelbagai lapisan masyarakat.

“Golongan muda, warga emas, masyarakat kampung, penduduk bandar malah ahli politik daripada pelbagai fahaman boleh duduk bersama dan mendapatkan pandangan beliau.

“Tok Ayah bukan sahaja menjadi rujukan dalam hal ehwal agama, malah sering dirujuk berkaitan isu sosial dan kebajikan masyarakat,” katanya.

Steven berkata demikian selepas menziarahi Rosli sempena sambutan Aidiladha baru-baru ini.

Dalam pertemuan tersebut, beliau turut menerima hadiah berupa kitab alih aksara bahasa Melayu bertajuk Syarah Bagi Matan Jawharah al-Tauhid daripada Tok Ayah sebagai tanda penghargaan atas kunjungan berkenaan.

Beliau menyifatkan kunjungan itu sebagai pengalaman bermakna dan berharap Rosli terus dikurniakan kesihatan yang baik untuk meneruskan usaha mendidik serta membimbing masyarakat.

“Dalam dunia yang semakin mencabar, kita memerlukan lebih ramai murabbi seperti Tok Ayah yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi turut membentuk akhlak, adab dan nilai kemanusiaan.

“Beliau bukan sekadar tokoh agama yang dihormati, tetapi juga simbol penyatuan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya. -WacanaKini