Politik Utama

Shahidan sokong pendirian Onn Hafiz tolak kerjasama dengan DAP di Johor

KANGAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan sokongan terbuka terhadap pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan DAP di negeri itu.

Menurut Shahidan, tindakan Onn Hafiz yang dilaporkan sanggup melepaskan jawatan sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan pendirian yang wajar dihormati dan tidak sepatutnya dilabel sebagai bersifat perkauman.

“Onn berada di tempat yang sewajarnya. Saya dan rakan-rakan akan memberikan sokongan penuh kepada beliau. Teruskan perjuangan itu kerana saya juga tidak akan berhenti memperjuangkan nasib bangsa saya,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial pada Khamis.

Shahidan yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, usaha memperjuangkan kepentingan orang Melayu sering disalah tafsir sebagai tindakan rasis, sedangkan perkara sama tidak pernah menjadi isu ketika slogan tertentu digunakan dalam kempen politik sebelum ini.

“Apabila kita bercakap mengenai nasib bangsa Melayu, terus ada yang melabel kita sebagai rasis. Sedangkan sebelum ini pelbagai pendirian politik pernah dibawa tanpa timbul dakwaan sedemikian,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang majoriti rakyatnya terdiri daripada Bumiputera, justeru usaha memperkasakan kelompok tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang negatif.

Menurutnya, perjuangan berkaitan kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera perlu dilihat dalam konteks pembangunan bangsa serta kestabilan negara, bukannya melalui lensa perkauman semata-mata.

Dalam pada itu, Shahidan turut menyentuh pandangan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai isu berkenaan.

“KJ kata DAP bukan bangsa. Betul juga,” katanya ringkas.

Terdahulu, Datuk Onn Hafiz dilaporkan menolak kemungkinan kerjasama antara UMNO dan DAP di Johor serta menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan Menteri Besar jika situasi tersebut berlaku selepas PRN Johor.

Menurut beliau, landskap politik Johor berbeza dengan peringkat Persekutuan kerana UMNO dan DAP tidak pernah menjalinkan kerjasama politik di negeri itu sebelum ini. – WacanaKini