GEORGE TOWN – Seorang pengerusi sebuah agensi kerajaan bergelar Datuk bersama empat individu lain direman selama empat hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kedudukan dalam urusan penjualan tanah pada 2015.
Perintah reman bermula hari ini hingga empat hari dikeluarkan Majistret Noor Idayu Salim selepas SPRM mengemukakan permohonan untuk menahan kesemua suspek selama tujuh hari.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tempoh reman selama empat hari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek berusia antara 40-an hingga 50-an terdiri daripada pengerusi agensi terbabit, adik lelakinya, adik iparnya yang juga isteri kepada lelaki berkenaan serta dua pengarah syarikat.
Peguam yang mewakili pengerusi terbabit, Dr Shamsher Singh Thind berkata, siasatan itu dipercayai berkaitan urusan penjualan tanah yang berlaku pada 2015 dan menurutnya, isu berkenaan pernah diselesaikan sebelum ini.
Beliau berkata, tanah berkenaan dijual kepada sebuah syarikat yang pada asalnya berstatus syarikat Bumiputera, namun berlaku perubahan dalam barisan pengarah syarikat terbabit selepas itu.
“Siasatan dipercayai membabitkan dakwaan salah guna kedudukan berkaitan urus niaga tanah berkenaan.
“Perkara itu sebelum ini sudah diselesaikan dengan diskaun Bumiputera sebanyak 10 peratus dikembalikan kepada agensi kerajaan terbabit,” katanya ketika ditemui selepas prosiding reman hari ini.
Menurutnya, pihak berkuasa kini menjalankan siasatan susulan aduan baharu yang dibuat pada 17 Ogos lalu dan dipercayai mengandungi perkembangan baharu berkaitan kes berkenaan.
Terdahulu, SPRM dilaporkan menahan lima individu termasuk seorang pengerusi agensi kerajaan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa membabitkan pelupusan tanah milik sebuah agensi kerajaan di bawah kementerian di negeri ini.
Difahamkan, suspek bergelar Datuk berusia 50-an itu dipercayai menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah ketika itu untuk meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Perai Selatan kepada sebuah syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan sekutunya.
Beliau juga disyaki terlibat meluluskan penjualan tanah berkenaan pada harga lebih rendah daripada nilai pasaran sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan kira-kira RM1.96 juta.
Kes masih dalam siasatan SPRM. – WacanaKini
