Mahkamah Utama

PMO arah Kementerian Kewangan nilai hanya syarikat dicadangkan bagi projek Janawibawa – saksi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Kementerian Kewangan (MOF) menerima arahan daripada “pihak atasan” supaya hanya memproses dan membuat penilaian terhadap syarikat yang dicadangkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi pelaksanaan projek di bawah Program Janawibawa.

Saksi pendakwaan ke-25, Datin Rosni Mohd Yusoff, berkata arahan itu disampaikan kepada bekas Setiausaha Bahagian Perolehan MOF, Datuk Zamzuri Abdul Aziz, sebelum dimaklumkan kepadanya selaku timbalan ketua bahagian ketika itu.

Beliau yang ketika itu turut berperanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Kontraktor Program Janawibawa berkata, PMO juga mengarahkan kementerian menjalankan penilaian semula terhadap KCJ Engineering Sdn Bhd sebelum syarikat itu dilantik menerusi kaedah rundingan terus.

Projek berkenaan membabitkan pembinaan jalan baharu yang menghubungkan Felda Bukit Jalor ke Gemas, Negeri Sembilan.

Pada prosiding terdahulu, Rosni memberi keterangan bahawa KCJ Engineering melepasi dua peringkat penilaian awal, namun gagal pada peringkat ketiga berikutan isu projek bermasalah serta prestasi kerja semasa yang tidak memuaskan.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat, saksi menjelaskan Bahagian Perolehan kemudiannya menerima maklumat tambahan daripada PMO berhubung prestasi syarikat berkenaan.

Susulan itu, satu mesyuarat diadakan bagi menilai semula keupayaan KCJ Engineering sebelum keputusan dibuat pada 26 Februari 2021.

Rosni berkata, hasil penilaian semula mendapati syarikat terbabit memenuhi kesemua kriteria dalam tiga peringkat penilaian yang ditetapkan.

“Disebabkan maklumat tambahan itu, kami di Bahagian Perolehan mengangkat memo kepada Kementerian Kewangan dan syarikat itu disyorkan sebagai kontraktor bagi projek berkenaan menerusi rundingan terus.

“Sewaktu keputusan dibuat, memang tiada campur tangan daripada PMO. Arahan yang kami terima adalah untuk menilai syarikat-syarikat yang dicadangkan oleh pejabat itu,” katanya.

Ketika ditanya pihak pendakwaan sama ada arahan daripada PMO itu disalurkan melalui Menteri Kewangan sebelum sampai kepada Bahagian Perolehan dan seterusnya jawatankuasa penilaian, Rosni mengesahkannya.

Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad, saksi dicadangkan tidak mempunyai dokumen asal yang membuktikan beliau menerima arahan secara langsung daripada Perdana Menteri untuk menjalankan penilaian bagi membolehkan projek dianugerahkan secara rundingan terus.

Bagaimanapun, Rosni mempertahankan keterangannya bahawa arahan untuk melakukan penilaian memang diterima.

“Saya dapat arahan. Kalau tiada arahan, bagaimana saya hendak buat penilaian?” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Noor Ruwena Md Nurdin akan bersambung pada Rabu depan.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 79, yang ketika itu turut memegang jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Janawibawa.

Pertuduhan itu membabitkan Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd, KCJ Engineering dan Datuk Azman Yusoff bagi Bersatu.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Muhyiddin turut menghadapi tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Bersatu di AmBank dan CIMB Bank antara Februari 2021 hingga Julai 2022.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – WacanaKini