Nasional Utama

AUKU Diganti Akta Baharu, Kerajaan Teliti Keseluruhan Ekosistem Pendidikan Tinggi – Zambry

KEPALA BATAS – Kajian untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bukan sekadar tertumpu kepada isu kebebasan mahasiswa, sebaliknya melibatkan usaha menyemak semula keseluruhan kerangka perundangan pendidikan tinggi negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah menggantikan AUKU memerlukan penelitian menyeluruh kerana akta itu ketika ini mengawal pelbagai aspek penting termasuk penubuhan universiti, tadbir urus, akademik dan pentadbiran.

Menurutnya, daripada 44 seksyen yang terkandung dalam AUKU, hanya tujuh seksyen berkaitan secara langsung dengan mahasiswa.

“Jadi apabila kita bercakap mengenai pemansuhan AUKU dan penggubalan akta baharu, ia bukan hanya soal mahasiswa semata-mata.

“Kita perlu melihat keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi kerana AUKU turut melibatkan penubuhan universiti, tadbir urus, hal akademik, ahli akademik, pentadbir dan pelbagai perkara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Zambry berkata, penelitian terhadap kerangka baharu itu turut mengambil kira isu kebebasan dan hak warga akademik, cabaran yang dihadapi institusi serta keperluan mahasiswa dan pentadbir dalam menghadapi perubahan semasa.

Katanya, undang-undang pengganti AUKU perlu dibentuk sebagai kerangka perundangan yang lebih komprehensif bagi memenuhi keperluan keseluruhan sistem pendidikan tinggi, termasuk cabaran pada masa depan.

Dalam konteks mahasiswa pula, beliau berkata kerajaan akan memberi perhatian terhadap perkara yang selama ini dianggap sebagai kekangan kepada kebebasan mereka, selaras dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Penubuhan jawatankuasa bebas juga penting supaya kita dapat mendengar dan mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak sebelum memuktamadkan bentuk kerangka perundangan baharu,” katanya.

Sebelum ini, Zambry memaklumkan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh bagi menggantikan AUKU telah digariskan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Usaha itu merupakan sebahagian daripada agenda kerajaan untuk memperkenalkan One Higher Education Act, yang dilancarkan pada Januari lalu.

Anwar sebelum ini turut mengumumkan hasrat kerajaan untuk memansuhkan AUKU bagi memberikan ruang kebebasan dan demokrasi yang lebih luas kepada mahasiswa selepas mengambil kira memorandum serta pandangan daripada golongan pelajar yang menuntut perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan. – WacanaKini