Nasional Utama

TikTok setuju bayar AS$400 juta selesai saman pelanggaran privasi kanak-kanak di AS

WASHINGTON – TikTok bersetuju membayar AS$400 juta atau kira-kira RM1.69 bilion kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi menyelesaikan tuntutan undang-undang berhubung dakwaan melanggar peraturan perlindungan privasi kanak-kanak.

Jabatan Kehakiman AS memaklumkan, penyelesaian itu membabitkan bayaran AS$300 juta oleh TikTok, manakala baki AS$100 juta dikaitkan dengan pembatalan perintah mahkamah terdahulu terhadap Musical.ly, platform yang dimiliki ByteDance sebelum menjadi sebahagian daripada TikTok.

Tindakan undang-undang berkenaan difailkan bersama oleh Jabatan Kehakiman dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) pada 2024.

TikTok didakwa mengumpul dan menggunakan maklumat peribadi pengguna berusia bawah 13 tahun tanpa mendapatkan persetujuan ibu bapa terlebih dahulu.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk dakwaan pengumpulan alamat e-mel dan maklumat peribadi kanak-kanak menerusi ciri Kids Mode, yang diwujudkan khusus untuk pengguna bawah umur.

Saman itu difailkan di bawah Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak (COPPA), yang melarang pengendali laman sesawang dan perkhidmatan dalam talian daripada mengumpul maklumat peribadi kanak-kanak berusia bawah 13 tahun tanpa kebenaran ibu bapa.

Dengan nilai keseluruhan AS$400 juta, penyelesaian itu antara jumlah terbesar pernah diperoleh kerajaan AS dalam kes berkaitan pelanggaran COPPA.

Perkembangan itu juga meningkatkan tekanan terhadap syarikat media sosial dan platform digital untuk memperkukuh kawalan terhadap pengumpulan, penyimpanan serta penggunaan data pengguna bawah umur. – WacanaKini