KANGAR – Tindakan merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi di sini dilaksanakan berdasarkan undang-undang selepas struktur berkenaan dikenal pasti dibina di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran, kata Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Beliau berkata, penguatkuasaan itu tidak seharusnya dilihat sebagai isu agama atau kaum, sebaliknya perlu dijadikan peringatan kepada semua pihak, termasuk umat Islam, supaya mematuhi peraturan dan mendapatkan kelulusan sebelum mendirikan sebarang rumah ibadat.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah menghalang pembinaan tempat ibadat penganut agama lain, selagi ia memenuhi syarat yang ditetapkan dan dibina di kawasan yang dibenarkan.
“Isu pencerobohan ini bukan baharu, sebaliknya isu lama membabitkan pembinaan kuil di atas tanah kerajaan.
“Apabila notis dikeluarkan oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG), pihak terbabit masih gagal berpindah,” katanya selepas Program Info On Wheels di Kangar Jaya Mall, di sini, hari ini.
Abu Bakar berkata, mana-mana pihak yang bercadang membina rumah ibadat perlu tampil berbincang dengan kerajaan negeri bagi memastikan pembinaan dilakukan mengikut prosedur dan peraturan.
Katanya, kegagalan berunding atau terus membina di kawasan yang tidak dibenarkan boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil.
“Jika tiada perundingan dan struktur itu kekal dibina di luar kawasan yang dibenarkan, maka tindakan penguatkuasaan terpaksa dilakukan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan kerajaan negeri mengenal pasti beberapa lagi rumah ibadat di sekitar Kuala Perlis dan Padang Besar yang dipercayai dibina tanpa kebenaran.
Sehubungan itu, jawatankuasa rumah ibadat yang terbabit disaran tampil berbincang dengan kerajaan negeri secepat mungkin bagi mencari penyelesaian sebelum tindakan lanjut diperlukan.
Dalam perkembangan sama, Abu Bakar berkata, isu pembinaan tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan bukan hanya membabitkan rumah ibadat.
Menurutnya, terdapat juga penempatan kediaman dibina secara haram tanpa geran di atas tanah kerajaan, termasuk di sekitar Kuala Perlis dan kawasan Geo Warisan.
Kerajaan negeri kini sedang merangka pendekatan terbaik bagi menyelesaikan isu berkenaan dan yakin tindakan perobohan dapat dielakkan sekiranya penduduk memberikan kerjasama serta bersedia berunding secara baik.
Semalam, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan menegaskan isu perobohan Kuil Veeramakaliamman perlu dinilai secara rasional berdasarkan pematuhan undang-undang dan kedaulatan peraturan, bukan dijadikan bahan untuk membangkitkan sentimen agama atau perkauman. – WacanaKini
