Jenayah Utama

Polis siasat lelaki didakwa lakukan aksi tidak senonoh di hadapan wanita dalam kereta

SUNGAI PETANI – Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang lelaki yang didakwa melakukan aksi tidak senonoh di hadapan sebuah kereta yang dinaiki seorang wanita di Taman Keladi, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 8 malam pada Khamis lalu.

Menurutnya, orang ramai yang mengenali suspek atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

“Individu yang mengalami kejadian seumpama ini juga dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis atau menghubungi talian kecemasan 999,” katanya pada Sabtu.

Kes itu mendapat perhatian selepas satu hantaran di media sosial tular mendakwa seorang lelaki berkeliaran di kawasan perumahan di Taman Keladi sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh.

Berdasarkan perkongsian sebuah pertubuhan sukarelawan di Sungai Petani menerusi Facebook, wanita terbabit dikatakan sedang meletakkan kenderaannya dan masih berada di dalam kereta ketika lelaki berkenaan dipercayai melakukan perbuatan itu di hadapan kenderaan mangsa.

Hantaran sama turut mendakwa lelaki terbabit pernah dikaitkan dengan kejadian mencuri pakaian dalam wanita, namun perkara itu belum disahkan pihak polis.

Susulan kejadian berkenaan, orang ramai, khususnya wanita yang memandu atau berada bersendirian, dinasihatkan supaya sentiasa meningkatkan tahap kewaspadaan dan peka terhadap persekitaran.

Hanyan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. – WacanaKini