KANGAR – Kerajaan dijangka mengambil pendekatan berhati-hati berhubung sebarang pelarasan subsidi petrol RON95 kerana langkah itu boleh memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.
Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, isu petrol merupakan perkara sensitif memandangkan ia berkait rapat dengan perbelanjaan harian isi rumah.
Menurut beliau, kerajaan ketika ini masih mempunyai beberapa pilihan dasar lain sebelum mempertimbangkan penyelarasan subsidi bahan api tersebut.
“Petrol adalah isu yang sangat sensitif dan memberi kesan terus kepada poket rakyat.
“Jika ada pelarasan subsidi RON95, kemungkinan langkah itu akan ditangguhkan terlebih dahulu,” katanya menerusi program audio siar Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan sedang meneliti cadangan menyemak semula subsidi RON95 khusus untuk golongan berpendapatan tinggi susulan ketidaktentuan bekalan tenaga global.
Dalam perkembangan sama, Nurhisham berkata kerajaan kini memberi tumpuan kepada langkah penjimatan lain termasuk memperketat kuota di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor logistik.
Katanya, pelaksanaan awal SKDS sebelum ini menyediakan kuota yang agak besar dan kini kerajaan sedang menyusun semula had penggunaan berdasarkan data operasi sepanjang dua tahun lalu.
Beliau turut menjelaskan bekalan minyak mentah dan produk bahan api negara masih mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Julai depan walaupun berlaku ketidaktentuan pasaran global akibat konflik di laluan perkapalan Selat Hormuz.
Menurutnya, kedudukan Malaysia yang memiliki Petronas serta kemudahan penapisan sendiri membantu menjamin kestabilan bekalan bahan api negara. -WacanaKini
